KUCHING, 22 MAC 2024 (SNN): Tidak timbul sebarang isu persaingan bekalan air di Sarawak kerana negeri ini mempunyai bekalan air yang melimpah dan mencukupi demikian jelas Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi.
Tambah beliau, sumber air di negeri ini berada di bawah kawalan sepenuhnya dan tidak dikongsi dengan mana-mana negeri ataupun negara jiran yang pasti akan mengganggu penyaluran bekalan air kepada rakyat.
“Kita perlu bersyukur kerana Sarawak dikurniakan dengan taburan hujan tahunan yang tinggi dan limpahan air tawar dari sungainya.
“Oleh itu, In Sha Allah Sarawak tidak akan berdepan dengan masalah bersaing untuk mendapatkan sumber bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2024 dipetik dari Unit Komunikasi Awam Sarawak.
Walau bagaimanapun, jelas beliau lagi, penggunaan bekalan air masih perlu dikawal selia dengan rapi dan baik bagi memastikan sumber mencukupi ketika menghadapi cabaran perubahan iklim.
Mengulas lanjut mengenai Sambutan Hari Air Sedunia 2024 bertemakan ‘Air Untuk Keamanan’, ianya selaras dengan inisiatif kerajaan Sarawak dalam memastikan penggunaan air yang cekap bukan sahaj untuk bekalan air bahkan untuk tujuan pengairan, kuasa hidroelektrik dan pengangkutan air yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang.
“Sambutan Hari Air Sedunia yang diadakan pada 22 Mac setiap tahun sejak 1993, merupakan perayaan tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memfokuskan kepada kepentingan air tawar, termasuk menguruskan krisis air global.
“Ia juga menyokong matlamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Matlamat Pembangunan Mampan ke-6: Air Bersih dan Sanitasi untuk semua menjelang 2030,”katanya lagi.-UKAS