SIMUNJAN, 19 MAC 2024 (SNN): Setiap kali menjelang bulan ramadan adalah menjadi kelaziman dan aktiviti tahunan bagi Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) menyantuni golongan asnaf dan kurang bernasib baik dalam siri jelajah Ihya Ramdan AKYBMS.
Pada siri bagi tahun ini, Bahagian Program Pendidikan dan Agama, AKYBMS yang dipimpin oleh Encik Awangku Azizul bin Awangku Omar bersama Puan Iszalina Majelan, Cik Noralla Hamdan dan Encik Ahmad Hamdan telah menuju ke lokasi yang ditetapkan iaitu Kampung Gumpey serta Kampung Sagang, Simunjan.
Menurut kenyataan AKYBMS, pasukan kali ini telah memabawa sebanyak 70 bakul makanan untuk disalurkan kepada asnaf-asnaf di kedua-dua kampung terbabit.
Dalam pada itu, AKYBMS juga turut menyeru agar umat Islam khususnya di Sarawak untuk meningkatkan amal ibadah lebih-lebih lagi di bulan puasa ini di samping mengeratkan hubungan antara keluarga, saudara seagama dan masyarakat sekeliling agar dapat membentuk suasana kehidupan yang lebih makmur.
Untuk makluman, pada 20 Mac 2024 bertempat di pekarangan masuk Wisma Sumber Alam, Petra Jaya akan berlangsungnya acara Simbolik Flag-Off sempena dengan Program Ihya Ramadan 1445H/2024M AKYBMS.