SEBUYAU, 10 FEBRUARI 2024 (SNN): Sebanyak RM180,000 geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) telah diagihkan kepada 17 penerima bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau bagi tujuan pelaksanaan aktiviti tahunan yang telah ditetapkan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap ADUN Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, dana atau geran yang disampaikan tersebut kepada 17 jawatankuasa penerima harus digunakan mengikut perancangan yang telahpun disusun atur.
“Sebaik sahaja dana berkenaan diterima oleh wakil setiap jawatankuasa/persatuan ianya harus di bawa bermesyuarat dan dimaklumkan kepada semua ahli tentang dana yang diterima.
“Perkara ini penting bagi memastikan dana yang diperoleh dimanfaatkan dengan telus serta mengikut apa yang telah dirancangkan,” jelas beliau dalam satu kenyataan media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran MRP di Pejabat Daerah Sebuyau pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dato Sri Julaihi turut menasihati semua ketua dan penduduk kawasan di DUN Sebuyau termasuklah mereka yang hadir agar bersedia serta mengambil manfaat daripada siapnya beberapa kemudahan infrastruktur besar di kawasan berkenaan kelak.
Untuk rekod, beberapa projek berimpak tinggi sedang giat dilaksanakan di bawah kawasan DUN Sebuyau seperti Projek Benteng Laut, Projek Jambatan Batang Lupar dan Jalan Raya Sebuyau-Lingga.