KUCHING, 30 JANUARI 2024 (SNN): Seni silat di Malaysia khususnya di negeri Sarawak disarankan untuk menjadikan silat sebagai sukan pertarungan unggul di pentas dunia sepertimana sukan Muay Thai.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, di Thailand mereka telah mempopularkan Muay Thai yang mana sukan tersebut kini sudah mempunyai juara dunia namun silat belum ada lagi.
“Seni silat merupakan satu teknik mempertahankan diri yang boleh dijadikan kebanggan seluruh dunia dan mungkin juga boleh menjadikannya sebagai satu acara sukan pertarungan unggul pada suatu masa kelak.
Beliau berkata sedemikian ketika berucap merasmikan pembukaan Gelanggang Silat Al-Qamar Marapati dan Pengisytiharan Pemakaian Tanjak Serinding Awan oleh Pertubuhan Seni Silat Sendeng Sarawak di Bangunan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak pada Sabtu lalu.
Tambahnya, seni silat ini bukan sahaja dalam konteks mempertahankan diri tapi juga keseniannya perlu dikembangkan selain mengekalkan identiti budaya orang Melayu yang sudah menjadi tradisi turun-temurun.
“Di Sarawak sendiri ada pelbagai pecahan silat termasuklah bukan dari kaum Melayu jadi kita boleh tubuhkan aktiviti bagaimana kita nak gabungkan keseluruhan kesenian silat ini dengan pelbagai latar belakang, sudah pasti ia menambah seri disebabkan kepelbagainnya bukan sahaja dari segi gerak langkah dan bunganya sahaja.
“Sarawak mempunyai pertubuhan yang menggabungkan keseluruhan silat dan saya ingin melihat pertubuhan ini bergerak dengan baik sekali. Jangan menjadikan persaingan itu menyebabkan timbul keretakan dalam masyarakat kita,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan agar pertubuhan berkaitan seni silat bersaing secara sihat supaya Sarawak dapat melahirkan pesilat bukan sekadar peringkat kebangsaan, malah sehingga ke persada dunia.
Turut hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok; Datuk Hj Ibrahim Baki, Datuk Bandar DBKU; Tuan Haji Hilmi Othman, Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pengaman Malaysia’ Tan Sri Mohd Jamel Johari dan Penaung PSSSS merangkap Pengurus Besar AKYBMS; Datu Dr Sanib Haji Said.