KUCHING, 29 JANUARI 2024: Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengangkat sumpah pelantikan sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak pada Isnin.
Istiadat mengangkat sumpah yang diadakan di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada jam 4.04 petang dimulakan dengan memohon perkenan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak bagi memulakan istiadat oleh Pendaftar Istiadat.
Majlis diikuti dengan bacaan Surat Cara Pelantikan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak yang telah diperkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al Marhum Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada Jumaat lalu oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Tun Dr Wan Junaidi kemudiannya mengangkat sumpah pelantikan seterusnya menandatangani Surat Angkat Sumpah disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Dato Abdul Rahman Sebli dan menandatangani Surat Pengisytiharan disaksikan Datuk Patinggi Abang Zohari.
Tun Dr Wan Junaidi dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sarawak selama empat tahun berkuat kuasa pada 26 Januari 2024 bagi menggantikan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang tamat tempoh perkhidmatannya.-UKAS