More
    Home Sarawak Kuching Naiktaraf Masjid Jamek Negeri Sarawak mengikut seni bina Masjid Nabawi bakal menjadi...

    Naiktaraf Masjid Jamek Negeri Sarawak mengikut seni bina Masjid Nabawi bakal menjadi tarikan pelancongan keagamaan

    KUCHING, 19 JANUARI 2024: Masjid Jamek Negeri Sarawak yang terletak di Petra Jaya, di sini bakal menjadi produk pelancongan keagamaan baharu untuk menarik kedatangan pelancong Islam ke negeri ini.

    Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau berhasrat untuk mengubah suai struktur masjid rasmi negeri Sarawak itu dengan menambah enam buah menara di bangunan sedia ada.

    Menurutnya, pengubahsuaian tersebut diilhamkan daripada seni bina Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi yang merupakan masjid kedua paling suci dan terbesar di dunia.

    “Saya nak tambah menara masjid kita, dan bina seakan-akan Masjid Nabawi dengan harganya yang ‘boleh tahan’, selagi rezeki kita ada kita akan buat.

    “Kita hendak mengangkat semangat umat Islam untuk beribadat, menyebarkan syiar Islam, belajar dan memberi khidmat bakti kepada bangsa kita yang mana secara tidak langsung akan mengangkat martabat umat Islam itu sendiri,” katanya semasa wacana perdana yang menghimpunkan agensi-agensi Islam Sarawak di Dewan Kompleks Islam, pada Khamis.

    YAB Premier Sarawak menerima cenderahati daripada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak-foto UKAS

    Menjelas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, usaha seumpamanya adalah bertujuan untuk mencipta sebuah persekitaran yang membolehkan umat Islam, khususnya di negeri ini, mendalami ilmu agama sebagai langkah ke arah pembangunan insan yang holistik sebagaimana terkandung dalam Al-Quran.

    Dalam wacana sama, beliau juga berkongsi mengenai pencapaian Sarawak sepanjang tujuh tahun di bawah kepimpinannya dan mengharapkan agar prestasi serta komitmen cemerlang kerajaan sedia ada akan berterusan dan mencapai sasaran 2030.

    Terdahulu, Premier Sarawak bersama tetamu kehormat serta para jemputan yang hadir menunaikan solat fardhu Maghrib berjemaah disusuli dengan alunan zikir munajat beramai-ramai.

    Majlis diakhiri dengan upacara memotong kek pulut kuning sebagai simbolik menyempurnakan majlis.

    Untuk rekod, Masjid Jamek Negeri Sarawak yang dibina sejak 1990, dikategorikan sebagai masjid gred khas yang berkeupayaan memuatkan lebih 10,000 jemaah pada satu-satu masa.

    Turut hadir dalam majlis itu ialah Isteri Premier Sarawak; Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak; Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Mufti Sarawak; Datu Kipli Yassin, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak; Datuk Misnu Taha, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak; Yang Amat Arif Datu Awang Suhaili Ledi serta Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak; Datu Khalidi Ibrahim.-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Sarawak berada di kedudukan yang kukuh pimpin tangani isu perubahan iklim

    0
    KUCHING, 23 JANUARI 2025: Sarawak berada pada kedudukan yang kukuh untuk memimpin dalam menangani perubahan iklim, dipandu oleh komitmen terhadap pembangunan lestari dan pelepasan...