KUCHING, 16 JANUARI 2024: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat melawat pejabat Sarawak Energy Berhad (SEB) di sini pada Selasa.
Ketibaan Baginda sekitar jam 11.09 minit pagi di pejabat SEB telah disambut oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato’ Sri Julaihi Narawi serta Menteri Pelancongan, Industri Seni Kreatif dan Seni Persembahan, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Turut menyambut ketibaan Baginda ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta kakitangan-kakitangan SEB yang lain.
Terdahulu pada sebelah pagi, Baginda berkenan mencemar duli berangkat melawat pejabat Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) di Icom Square yang disambut oleh Pengerusinya Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo serta kakitangan PETROS yang lain.
Selepas itu pada sebelah petang, Baginda dijadualkan berkenan mencemar duli ke Muzium Budaya Borneo (BCM).
Manakala pada sebelah malam, Baginda dijadualkan berkenan mencemar duli ke Majlis Santapan Malam yang turut akan dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta tetamu-tetamu kehormat lain.-UKAS