DALAT, 11 JANUARI 2024 (SNN): Kemudahan asrama terutama kebanyakan kawasan sekolah luar bandar amat penting dalam memastikan akses pendidikan yang menyeluruh untuk semua pelajar.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kemudahan ini dalam pada masa sama membantu menyediakan tempat tinggal kepada pelajar-pelajar yang menghadapi masalah pengangkutan atau yang tinggal jauh dari kawasan sekolah.
Menurut beliau, sebahagian kawasan di bawah bidang kuasa Pejabat Pendidikan Dalat kini hanya boleh dihubungi melalui sungai dan terletak di kawasan luar bandar dan sekolah-sekolah di kawasan tersebut bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan perahu sebagai pengangkutan utama untuk menghantar pelajar ke sekolah.
“Kos pengangkutan yang tinggi ini mungkin menyebabkan beberapa keluarga kurang berkemampuan tidak mampu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah ditambah keadaan ini turut berpotensi menyebabkan masalah keciciran pelajar luar bandar dalam bidang pendidikan.
“Oleh itu, asrama di sekolah luar bandar dianggap penting kerana ia dapat menyediakan tempat tinggal kepada pelajar-pelajar yang menghadapi masalah pengangkutan, memastikan mereka dapat menghadiri sekolah dengan lancar seperti pelajar lain,”ujarnya semasa berucap merasmikan Pertandingan Asrama Terbilang; Keceriaan Asrama 2023 Peringkat Sekolah Di Bawah Pejabat Pendidikan Dalat, bertempat Kompleks Kebajikan Dalat pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu memandang serius perkara tersebut dan pihaknya telah berbincang bersama Lembaga Sungai Sarawak untuk mewujudkan pengangkutan percuma di kawasan luar bandar bagi 10 buah sekolah yang akan memanfaatkan 287 orang pelajar sekolah rendah di bawah program Yayasan Sarawak, di sini.
“Perkara tersebut masih dalam perbincangan dan saya berharap ia akan dilancar tidak lama lagi sebagai inisiatif meringankan beban ibu-bapa selain mendokong semangat mereka untuk menimba ilmu,”ujarnya.
Menjelas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa di konstituensi itu juga telah ditubuhkan kelas tambahan untuk komuniti, yang mana kawasan Medong dijadikan sebagai projek rintis bermula tahun 2021 dan diperluaskan ke kawasan Kekan, Sungai Ud serta Tanam pada 2022.
Tambahnya lagi, ia seterusnya diperluaskan lagi ke Oya, Kuala Hilir, Senau, Bom dan Kampung Balan pada 2023 sehingga memanfaatkan seramai 98 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalat dan SMK Oya setakat ini.
Pertandingan Asrama Terbilang; Keceriaan Asrama itu telah mempertandingkan empat buah sekolah bagi kategori sekolah menengah, melibatkan SMK Batang Igan, SMK Agama Igan, SMK Dalat dan SMK Oya.
Manakala kategori sekolah rendah pula melibatkan sembilan buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Klid/Plajau, SK Kampung Bungan, SK Saint Luke Nanga Baoh, SK Saint Kevin, SK Sungai Rasau, SK Baoh Ulu, SK Datu Pengiran Mohamad, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) San San dan SJKC Poi Yuk.
Johan bagi kategori Sekolah Menengah dimenangi oleh SMK Batang Igan, Naib Johan, SMK Agama Igan dan tempat ketiga, SMK Dalat.
Bagi kategori Sekolah Rendah, Johan dirangkul oleh SK Kampung Klid/Plajau, Naib Johan, SK Kampung Bungan dan Tempat Ketiga SK Saint Luke, Nanga Baoh.
Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Dalat; Magdaline Jonn, Penghulu Yasa Tanbik serta Guru-guru besar bagi sekolah yang terlibat.-UKAS