KUCHING, 31 DISEMEBR 2023: Kerajaan Sarawak akan memastikan kesiapsiagaan untuk menghadapi bencana banjir Monsun Timur Laut dipertingkatkan pada Januari tahun depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pusat pemindahan mesti berada dalam keadaan bersih, selamat, tersusun rapi dan mesra kanak-kanak.
“Tiada lagi jaring badminton dan tempat makan juga perlu dikenalpasti. Kita juga hendak memastikan bahawa pusat pemindahan sementara ini ada tempat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti buat kanak-kanak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media semasa Lawatan Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Banjir Monsun Timur Laut 2023/2024 di Pusat Pemindahan Dewan Sinaran Kampung Sungai Lumut pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu menambah, di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah menyediakan 29 pangkalan hadapan (food base) di seluruh Sarawak untuk membantu penduduk kawasan luar bandar yang sukar untuk mengakses bekalan makanan di kawasan mereka.
“Sekarang ini memang sudah kita bekalkan di tempat tersebut bahan-bahan seperti makanan kering seperti beras, minyak masak, gula, kopi, roti dan makanan dalam tin,” tambahnya.
Difahamkan sebanyak 627 buah pusat pemindahan telah disediakan di seluruh Sarawak yang mampu menampung kapasiti seramai 162,000 orang dalam satu masa.
Hadir sama Pengarah Jabatan Meteorologi Sarawak Khairul Najib Ibrahim dan Pengarah JKMS Adana Jed.-UKAS