KUCHING, 28 NOVEMBER 2023: Kesemua menara komunikasi yang sedang dalam pelaksanaan di lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dijadual akan mula beroperasi secara berperingkat sehingga suku ketiga tahun 2024.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi memberitahu, pelaksanaan tersebut melibatkan DUN Ba’kelalan, Kalaka, Simunjan, Ngemah, Engkilili, Kabong, Tamin dan Beting Maro.
“Saya yakin, penduduk setempat akan menikmati perkhidmatan telekomunikasi yang lebih baik apabila menara tersebut beroperasi sepenuhnya kelak,”katanya.
Demikian menurut beliau bagi menjelaskan isu yang dibangkit oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di lapan DUN berkenaan semasa ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Isnin.
Jelasnya lanjut, setiap projek pembinaan menara akan melibatkan sesi libat urus bersama Pejabat Residen dan Daerah, pemilik tanah serta pihak berkepentingan bagi memastikan ketelusan pelaksanaannya sekaligus menentukan lokasi tapak yang bersesuaian dan memenuhi keperluan teknikal menara telekomunikasi.-UKAS