LIMBANG, 19 NOVEMBER 2023: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM9.28 juta sebagai elaun tambahan untuk diberikan kepada 2,579 guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia antara komitmen kerajaan negeri sebagai menghargai dan mengiktiraf sumbangan guru-guru KAFA.
Menurutnya, menerusi peruntukan itu, setiap guru KAFA akan menerima elaun tambahan sebanyak RM300 sebulan bermula tahun depan.
“Inilah komitmen kerajaan Sarawak sebagai menghargai dan mengiktiraf sumbangan guru-guru KAFA di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dalam Majlis Apresiasi KAFA Bahagian Limbang di Dewan Suarah Limbang pada Sabtu.
Antara objektif program ini adalah untuk meraikan dan menghargai warga KAFA yang telah berjaya dengan cemerlang dalam mencapai visi dan misi KAFA serta meningkatkan kesedaran mereka khususnya murid KAFA tentang kepentingan ilmu agama yang berteraskan al-Quran dan as-sunnah.
Selain itu, ia juga dapat mewujudkan rasa kasih dan sayang serta cinta kepada mereka yang telah bertungkus lumus menabur bakti khususnya guru-guru KAFA dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga KAFA khususnya premis KAFA, ibu bapa, warga pendidik dan murid.
Dalam majlis sama, turut disampaikan beberapa anugerah seperti Anugerah Pelajar Terbaik UPKK 2022, Anugerah Guru KAFA Cemerlang 2022, Anugerah Premis Cemerlang 2022, Anugerah Terbaik Pengurusan KAFA 2022, Anugerah Jasa Bakti 2022, Anugerah Tokoh Akademik UPKK 2022 dan Anugerah Tokoh KAFA 2022.
Turut hadir, Timbalan Pengarah II Jabatan Agama Islam Sarawak; Ustaz Abang Borhanuddin Abang Ahmad Masuine, wakil Pegawai Daerah Limbang; Hamidah Halpi, wakil Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak; Ustaz Mohd Fadhillah Junaidi serta tetamu jemputan lain.-UKAS