More
    Home Sarawak Limbang Limbang akan terus dilimpahi pelbagai projek pembangunan

    Limbang akan terus dilimpahi pelbagai projek pembangunan

    LIMBANG, 19 NOVEMBER 2023 (SNN): Bahagian Limbang telah dan akan terus menikmati pelbagai pembangunan dari segi infrastruktur mahupun sektor pelancongan dan ekonomi.

    Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, banyak inisiatif telah dilaksanakan demi manfaat warga setempat termasuk pembangunan infrastruktur seperti Jambatan Persahabatan yang menghubungkan bahagian tersebut dengan negara Brunei Darussalam.

    “Sebagai contoh, Jambatan Persahabatan menghubungkan Pandaruan, Limbang ke Temburong, Brunei yang telah digunakan sejak tahun 2013.

    “Lokasi Limbang yang terletak di antara negara Brunei juga telah menyumbang kepada sektor pembangunan secara tidak langsung dari segi ekonomi.

    “Keadaan ini disokong dengan peningkatan kadar pendapatan para peniaga dan usahawan tempatan daripada pelbagai bidang sama ada perhotelan, inap desa, makanan, kraftangan, pengangkutan dan sebagainya,” katanya.

    Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dalam Majlis Perasmian Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa Terbuka Limbang 2023 Piala YAB Premier Sarawak di Kompleks Sukan Limbang pada Sabtu.

    Datuk Hasbi beramah mesra bersama peserta Karnival Tarik Tali-Foto UKAS

    Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, Limbang juga tidak ketinggalan dalam sektor pelancongan kerana mempunyai produk tersendiri seperti Lumpur Berbuak di Meritam, Gunung Buda dan Mentawai, makanan unik iaitu ikan tahai selain pesta kebudayaan bagi kaum-kaum Bisaya, Lun Bawang, Tagal, Kedayan, Iban, Melayu Brunei dan juga Cina.

    Mengulas lanjut, kemudahan sukan turut dibangunkan termasuk Lapangan Rekreasi Limbang yang mampu merancakkan lagi pembangunan bidang sukan di bahagian tersebut.

    Kejohanan kali ini yang berlangsung pada 18 hingga 19 November 2023 telah disertai sejumlah 47 pasukan bagi tiga kategori dengan kategori lelaki terbuka disertai 12 pasukan dari Brunei Darussalam, 11 pasukan dari bahagian Limbang, lapan pasukan dari Sabah dan dua pasukan masing-masing dari Selangor dan Kuala Lumpur.

    Lima pasukan dari bahagian Limbang serta satu pasukan masing-masing dari Sabah dan Labuan pula bersaing dalam kategori wanita manakala kategori remaja melihat persaingan daripada lima pasukan dari bahagian Limbang.

    Hadir sama, Walikota Majlis Daerah Limbang merangkap Presiden Persatuan Tarik Tali Bahagian Limbang; Kaunselor Sufian Mohat, wakil Pegawai Daerah Limbang; Mohamad Sobree Damit, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Limbang; Rynnille Elsther Peter dan Ketua Polis Daerah Limbang; Parum Niot.-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    PETROS kekal sebagai aggregator tunggal sah di Sarawak-Julaihi

    0
    KUCHING, 14 NOVEMBER 2024: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) terus mengukuhkan peranannya sebagai agregator gas tunggal di Sarawak dengan menandatangani beberapa Perjanjian Jualan Gas (GSA)...