GEDONG, 29 OKTOBER 2023 (SNN): Daerah Gedong mempunyai potensi besar untuk diangkat menjadi sebuah pusat ekonomi tempatan yang penting di Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Daerah Gedong yang merangkumi 12 buah kampung berkembang pesat melalui pelbagai aktiviti ekonomi seperti pertanian, perikanan, perniagaan kecil-kecilan dan perusahaan produk makanan yang diusahakan oleh penduduk tempatan.
“Usaha inisudah pasti akan menghasilkan impak positif kepada ekonomi tempatan dan negeri yang berkembang pesat, di samping kita mampu meningkatkan taraf hidup rakyat pada masa yang sama.
“Dengan menggunakan teknologi moden, para belia boleh menjadi usahawan pertanian dan ladang pertanian moden di Gedong yang akan mengukuhkan keselamatan makanan di negeri ini, serta mampu mengeksport hasil ke pasaran antarabangsa seperti di Indonesia dan Singapura,” katanya semasa berucap dalam Majlis Simpulan Kasih anjuran Gabungan Pertalian Keluarga (GPK) Gedong di Raia Hotel pada Sabtu.
Premier Sarawak menambah, Daerah Gedong semakin berkembang pesat menerusi pelbagai inisiatif pembangunan yang dibawa oleh kerajaan negeri dan ini secara langsung akan membawa limpahan ekonomi sama ada dari segi hiliran dan huluan sekaligus meningkatkan pendapatan masyarakat setempat dan Sarawak secara keseluruhannya.
Untuk rekod, ahli-ahli GPK merupakan keturunan pembesar Melayu yang berasal dari Gedong.
Antaranya adalah zuriat keturunan daripada Datu Patinggi Muai, Datu Patinggi Julak Ali, Datu Patinggi Hamid, Datu Patinggi Daud, Datu Bandar Kassim, Datu Bandar Sulaiman dan Datuk Bana.
Salasilah keluarga yang terhasil daripada penyelidikan beberapa orang anak jati Gedong telah memberi idea untuk menubuhkan GPK pada tahun 2017 dengan tujuan untuk mencari dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan serumpun orang Gedong termasuklah yang telah berhijrah ke tempat lain.
Bertitik tolak dari situlah juga program perhimpunan keluarga besar ini telah dimulakan sejak 2018.
Turut hadir sama, Ahli Parlimen Batang Sadong; Rodiyah Sapiee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Simunjan Awla Dris, ADUN Satok; Dato Ibrahim Baki, Penaung GPK 2023; Dato Sri Mohamad Naroden Majais dan Pengerusi Majlis Simpulan Kasih GPK; Dato Ismaili Bujang Pit.-UKAS