BINTULU, 26 OKTOBER 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi terus berusaha untuk memenuhi keperluan dari segi utiliti dan telekomunikasi bagi rakyat yang menetap di kawasan pedalaman.
Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, usaha itu merupakan komitmen kerajaan negeri dalam merapatkan jurang komunikasi dan utiliti di kawasan bandar dan luar bandar.
Menurutnya, projek-projek yang melibatkan bekalan elektrik, air dan telekomunikasi masih lagi berjalan dan kini hanya menunggu masa untuk disiapkan.
“Justeru, kita mohon para penduduk di kawasan pedalaman bersabar dan memberikan agensi-agensi pelaksana dan pegawai-pegawai yang berkaitan sedikit masa untuk mereka melaksanakan tugas dengan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Usaha ini adalah usaha yang berterusan dilakukan oleh kerajaan Sarawak bersama-sama dengan kerajaan pusat,” katanya semasa sidang media selepas melakukan Lawatan Kerja Rasminya ke Rumah Richards Umkar Sungai Serupai Tengah pada Rabu.
Dato Sri menambah, kerajaan negeri juga mahu penduduk di luar bandar terlibat secara aktif dalam pembangunan arus perdana seperti di kawasan bandar.
“Ini yang kita tekankan di dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID19 2030 (PCDS 2030) iaitu keterangkuman,” katanya.
Difahamkan lawatan tersebut adalah untuk memantau pelaksaan projek kemudahan yang telah dilaksanakan di samping mengambil pemakluman tentang masalah lain yang dihadapi penduduk.
Turut hadir sama Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi; Syed Mohamad Fauzi, wakil Pegawai Daerah Tatau; Winnie Dian, wakil Pejabat Daerah Kecil Balingian; Dominic Ahjun, Pengurus Kanan Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) Sarawak Energy; Barry Law dan Tuai Rumah Richard Umkar.-UKAS