LAWAS, 03 OKTOBER 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak dengan kerjasama kerajaan pusat akan terus merangka strategi dan melaksanakan projek meningkatkan kualiti pendidikan di Lawas.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pada masa ini pembangunan infrastruktur Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) sedang dirancang untuk kawasan tersebut.
“Dana sejumlah RM160 juta turut diperuntuk di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) untuk penambaikan sekolah, rumah guru, dan dewan makan. Pihak kerajaan akan terus berusaha untuk menyediakan kemudahan pendidikan terbaik bagi anak-anak Lawas.
“Kita harus memastikan anak-anak kita dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran agar mereka dapat mengubah taraf hidup dan nasib keluarga masing-masing. Oleh itu, saya akan terus mencuba untuk mendapatkan peruntukan yang lebih daripada kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap semasa Majlis Perasmian Kursus Pasca Perkahwinan Siri 2/2023 di sebuah hotel terkemuka pada Sabtu.
Jelasnya, melalui institusi CENTEXS yang diilhamkan oleh kerajaan Sarawak, hampir 100 peserta kursus dalam bidang berkaitan seperti minyak dan gas telah disenaraikan untuk diambil bekerja oleh syarikat-syarikat meskipun belum menamatkan kursus.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak turut mengumumkan pelan untuk pembangunan ekonomi Lawas menerusi pelaburan syarikat-syarikat yang berminat mewujudkan kerjasama di mana ia dijangka akan dimulakan pada tahun 2024.
Turut hadir sama isteri Datuk Amar Awang Tengah; Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak; Datuk Rosey Yunus, Ahli Parlimen Lawas; Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang; Unus Tambi, Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak; Datu Dr Sanib Said serta dif-dif kehormat lain.-UKAS