KOTA SAMARAHAN, 24 SEPTEMBER 2023 (SNN): Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) akan terus membela dan memahsyurkan keunggulan bangsa Melayu melalui pendekatan-pendekatan serta program bagi memastikan seni budaya Melayu terus tersemat dalam masyarakat.
Seni tradisi merupakan milik rakyat kebanyakan secara kolektif dan menjadi cermin ketamadunan bangsa yang merangkumi pemikiran, kreativiti serta kearifan lokal.
Dalam usaha melestarikan seni dan budaya Melayu Sarawak penganjuran SAMAtandak Persembahan Tarian Melayu dapat memberikan pendedahan secara langsung kepada penonton terutama golongan muda masa kini untuk memahami estetika unggul seni bangsa Melayu Sarawak khususnya.
Tandak Melayu merupakan satu warisan yang melambangkan ketinggian seni Tamadun Melayu. Melalui program itu juga amat bertepatan dengan Pelan Strategik AKYBMS 201-2035 dalam teras Agama dan Budaya iaitu usaha memperteguh identiti Melayu Sarawak dan penjemaan kebudayaan yang positif.
Program yang berlangsung di Kompleks Membeli-belah Summermall, Kota Samarahan yang diadakan semalam telah dirasmikan oleh Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan, En Nayan bin Yamin.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah Wakil Pengarah Institut Perguruan Tunku Abdul Razak (IPGTAR); En Sylvester Rasit Ak Debong, Wakil Pengurus Besar the Summer Shopping Mall; Puan Candy Sazali.