More
    Home Malaysia Sejarah pembentukan Malaysia perlu dinyatakan dengan lebih jelas dalam sistem pendidikan Malaysia-Julaihi

    Sejarah pembentukan Malaysia perlu dinyatakan dengan lebih jelas dalam sistem pendidikan Malaysia-Julaihi

    KOTA SAMARAHAN, 14 SEPTEMBER 2023 (SNN): Penubuhan Persekutuan Malaysia 1963 dengan penggabungan empat wilayah (Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura/ kemudian keluar) perlu dinyatakan dengan lebih jelas dalam sistem pendidikan Malaysia bagi memberi kefahaman mendalam kepada rakyat khususnya pelajar.

    Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi menjelaskan, hal ini amat penting bagi membolehkan semua lapisan generasi menjadi celik sejarah tentang penubuhan Malaysia dan melihat bagaimana pembentukan itu berlaku sekaligus mengukuhkan kerajaan persekutuan sehingga kini.

    Katanya, generasi muda kini perlu tahu bagaimana proses terbentuknya Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 kerana masih ramai tidak tahu mengenainya.

    “Yang mereka tahu adalah terdapat 14 buah negeri sahaja yang terdapat di Malaysia namun mereka kurang tahu status kita (Sabah, Sarawak) merupakan satu wilayah yang bergabung dengan Tanah Melayu untuk membentuk sebuah negara Malaysia,” katanya lagi.

    Beliau berkata sedemikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Akreditasi Kursus Reka Bentuk Sistem Solar Photovoltac EIU di Dewan DeTAR Putra Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Rabu.

    Tegas Julaihi lagi, sejarah pembentukan ini perlu dimasukkan dan diajar dalam sistem pendidikan sekolah dan universiti yang mana kita boleh menggalakkan penuntut dari dalam atau laur negara untuk mengambil subjek berkenaan sebagai mata pelajaran tambahan di peringkat institusi tinggi.

    “Langkah ini amat penting bagi generasi kita yang akan datang untuk mengetahui Perjanjian Malaysia 1963 dan juga Jawatankuasa Antara Kerajaan (AGC) serta siapa yang terlibat dan apa yang berlaku sepanjang proses membentuk sebuah negara berdaulat ini,” ujarnya lagi.

    Bercakap mengenai persediaan sambutan Hari Malaysia pada Sabtu ini, Julaihi berkata Sarawak sedang memperkemaskan persiapan akhir Hari Malaysia yang ke-60 di Stadium Perpaduan yang bakal berlangsung pada 16 September jam 7 malam.

    Sambutan itu bakal dihadiri Pemangku Yang di-Pertua Negeri, Perdana Menteri Malaysia, Premier Sarawak, Ketua Menteri Sabah selain anggota kabinet dan barisan pemimpin pusat dan negeri.

    “Sarawak sentiasa menjadi contoh dan teladan kepada negeri lain, bagaimana masyarakat majmuk di sini hidup dalam damai serta bersatu padu dan sehaluan untuk memajukan negeri.

    “Ini bertepatan dengan perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka,” ujarnya.

    Turut hadir sama Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar; Dr Hazland Abang Hipni dan Naib Canselor UNIMAS; Profesor Datuk Dr Muhammad Kadim Suaidi.

     

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Pendidikan awal asas utama pembentukan generasi muda cemerlang

    0
    KOTA SAMARAHAN, 09 JANUARI 2025: Pendidikan awal kanak-kanak menjadi asas penting dalam membentuk generasi muda yang cemerlang. Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah...