KUCHING, 08 OGOS 2023 (SNN): Sarawak menyasarkan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang terdiri daripada sektor pemangkin dasar ekonomi dan perniagaan menjelang tahun 2030.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pekerja sekarang perlu menjadi lebih fleksibel, berinovatif dan beradaptasi kerana pasaran kerja masa kini mengharuskan tenaga kerja yang memiliki kemahiran pelbagai serta memenuhi keperluan terkini pihak majikan.
“Aspirasi kita ialah untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang sepadan dengan kehendak industri kini dan masa hadapan.
“Mempunyai ramai tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal adalah salah satu pembolehdaya yang dapat menyumbang ke arah pembentukan negara maju yang makmur,” ujarnya ketika menyampaikan amanat dalam Majlis Konvokesyen Ke-25 Sarawak Skills & Kolej i-Cats di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Selasa.
Seramai 483 graduan penerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM),
149 penerima Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan 32 penerima Diploma Kemahiran Malaysia dalam Pengiktirafan Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (REL) diraikan pada Majlis Konvokesyen kali ini.
Bagi program akademik (i-CATS UC dan i-CATS Miri), terdapat 59 graduan program ijazah (Kejuruteraan Perisian dan Pentadbiran Perniagaan), 206 graduan daripada pelbagai program diploma dan 13 graduan program Sijil Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.
Kira-kira 67 graduan pada tahun 2020 yang terjejas akibat pandemik COVID-19 turut menyertai majlis tersebut.
Turut hadir sama Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak; Datuk Roland Sagah Wee In, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak; Datuk Dr. Annuar Rapa’ee dan Datuk Francis Harden Hollis dan Pengerusi Sarawak Skills; Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain.-UKAS