KAPIT, 26 JULAI 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak komited untuk terus memperkasakan pembangunan di kawasan luar bandar bagi meningkatkan kegiatan sosioekonomi penduduk.
Memetik laporan UKAS, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, pembangunan infrastruktur asas seperti elektrik, air dan jalan raya di Sarawak dilakukan secara berterusan dan beperingkat.
“Pelbagai projek pembangunan infrastruktur yang diluluskan dan projek yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Sebagai contoh menaik taraf jalan pesisir, implementasi projek jalan utama kedua (second trunk road), pembinaan jambatan, menara telekomunikasi, bekalan elektrik, air, skim penempatan semula (SPS), Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan lain-lain lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Cek Pampasan Bagi Baleh-Mapai Overhead Transmission Line Project Dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) di Dewan Suarah Kapit pada Selasa.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar ll merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak menambah, dalam pelaksanaan projek pembangunan tersebut perlu pengambilan tanah untuk memastikan ia dapat dilaksanakan sama ada ianya tanah berhak milik ataupun tertakluk kepada tanah NCR serta dibayar pampasan mengikut jumlah tafsiran dan penilaian yang sepatutnya.
“Seperti projek Baleh-Mapai Overhead Transmission Line Project ini akan menyumbangkan kepada agenda pembangunan lestari Negeri Sarawak yang selaras dengan perkembangan kapasiti jana kuasa dan permintaan dari industri intensif tenaga di Sarawak Corridor of Renewable Energy atau (SCORE).
“Mengenai pengukuran tanah juga, Kerajaan Sarawak tetap akan meneruskan pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan telah diluluskan oleh Premier Sarawak.
“Kita meluluskan sebanyak RM40 juta untuk penyukatan tanah NCR serta pengambilan seramai 467 Pegawai dan kakitangan Jabatan Tanah dan Survei yang melibatkan kos RM30 juta setahun bagi mempercepatkan pengukuran tanah NCR selepas ianya diiktiraf sahih dan jelas mengikut perundangan Kanun Tanah Negeri,” ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Istiadat) merangkap ADUN Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat dalam ucapan aluannya berkata usaha pengukuran tanah NCR inisiatif baharu ini merupakan usaha berterusan Kerajaan Sarawak yang sentiasa komited mengiktiraf hak pemilikan tanah kepada rakyat setelah ianya sahih mengikut perundangan.
Beliau turut berharap agar rakyat sedar akan inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan Sarawak untuk membantu rakyat dan projek yang dijalankan akan memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat di negeri ini.-UKAS