BRUNEI 16 JULAI 2023 (SNN): Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menerima Bintang Darjah Paduka Seri Laila Jasa Yang Amat Berjasa Darjah Pertama (PSLJ) yang membawa gelaran Dato Paduka Seri Laila Jasa yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Sabtu.
Istiadat Pengurniaan Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan itu bersempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan dan Yang Di Pertua Negara Brunei Darussalam Yang Ke-77.
Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah berkata, penghargaan yang diberikan merupakan salah satu anugerah yang terbesar dalam hidup beliau.
Tambah beliau lagi, hal ini menunjukkan hubungan yang rapat antara dua buah negara dan Sarawak.
“Ini menunjukkan bahawa, hubungan erat antara Brunei Darussalam dan Malaysia khususnya Sarawak yang begitu rapat bukan sahaja di peringkat kerajaan tetapi turut dari segi perhubungan masyarakat,” ujarnya dipetik ketika ditemui media UKAS selepas majlis berkenaan.
Justeru, beliau berharap agar hubungan rapat ini dapat dikekalkan pada masa hadapan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.-UKAS