LIMBANG, 21 MEI 2023 (SNN): Projek Pembinaan Jambatan Sungai Limbang Kedua dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2024 ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek itu sudah lama tertangguh akibat pandemik yang lalu dan ia harus dipantau untuk memastikannya dapat disiapkan dengan segera.
“Salah satu projek besar yang tergendala adalah Jambatan Kedua Sungai Limbang tetapi Insyallah semalam ada taklimat oleh Jabatan kerja Raya (JKR) kepada kami wakil rakyat tempatan termasuk Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Kuching.
“Insyallah jambatan itu dijangka akan siap pada tahun 2024, tahun depan jadi kita di Limbang bersyukur kerana dilimpahi banyak projek dan mudah-mudahan ia akan dilaksanakan mengikut jadual dan kita bersyukur dengan kerajaan sedia ada, sekarang kerajaan Perpaduan di Putrajaya dan kita Kerajaan GPS di Petrajaya sama-sama membangunkan seluruh negeri Sarawak termasuklah kita di Limbang,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Tahun anjuran Persatuan Kedayan Limbang bertempat di Dewan Suarah Limbang pada Jumaat.
Tambahnya, majlis ini juga telah berjaya mencapai objektifnya iaitu menghimpunkan kesemua 20 kampung Kedayan bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama sekaligus mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan ukhuwah masyarakat Kedayan di Daerah Limbang.
“Terdapat satu lagi program khas yang akan dianjurkan oleh Persatuan Kedayan di Kampung Pabahanan nanti iaitu Program Makan Tahun Perdana pada awal bulan Ogos,” jelasnya lagi.
Turut hadir wakil Pegawai Daerah Limbang; Mohd. Sobree Damit, Walikota Majlis Daerah Limbang; Kr Sufian Mohat dan tetamu jemputan yang lain.-UKAS.