KUCHING, 16 MEI 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak berhasrat memanfaatkan bekalan tenaga solar untuk kawasan luar bandar dalam usaha merealisasikan kemudahan bekalan elektrik 24 jam di seluruh negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah ini penting untuk dilaksanakan bagi membolehkan Sarawak mampu menyediakan bekalan elektrik menyeluruh dan mampu milik menjelang tahun 2025.
“Saya percaya masyarakat di Sarawak ini berhak untuk berkembang maju dan berjaya, oleh itu kita mengambil langkah untuk merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar dengan memanfaatkan inisiatif sedi ada dalam penggunaan tenaga solar.
“Ia sama seperti Skim Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) untuk membekalkan tenaga elektrik mampu milik yang dipacu oleh Sarawak Energy Berhad,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Stesen Solar Hibrid Long San antara Shanghai Electric dan Sarawak Energy di Hotel Pullman, Kuching baru-baru ini.
Tambah Abang Johari lagi, inisiatif ini amat penting untuk Sarawak bergerak lebih dekat ke arah merealisasikan matlamat penyediaan bekalan elektrik 24 jam seluruh negeri Sarawak.
Jelasnya, penggunaan tenaga solar ini merupakan satu lagi contoh usaha kerajaan dalam memenuhi aspirasi rakyat terhadap kecekapan tenaga elektrik khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Sebagai contoh, di kawasan Long San ini walaupun sebelum ini menggunakan stesen janakuasa diesel, namun dengana danya stesen hibrid solar ia mampu menampung keperluan tenaga elektrik yang semakin meningkat di kawasan itu,” ujarnya lagi.
Turut hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi; Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Presiden Shanghai Electric Power Transmission dan Distribution Group; Xiao Wei Hua, Konsul General Republik China di Kuching; Xing Weiping dan tetamu jemputan lain.