TANJUNG MANIS, 10 MEI 2023 (SNN): Penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran dapat membantu ke arah membudayakan membaca serta menghayati isi kandungan kitab suci umat Islam itu.
Memetik laporan UKAS, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata membaca Al-Quran merupakan wasilah dalam menjadikan manusia berilmu dan lebih bertamadun.
“Penganjuran Tilawah Al-Quran ini mudah-mudahan dapat membantu ke arah membudayakan dan menghayati kitab suci Al-Quran.
“Al-Quran mengajak kita manusia untuk membaca kerana ianya merupakan wasilah dalam menjadikan manusia berilmu dan memajukan tamadun manusia,” katanya pada Majlis Penangguhan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Tanjung Manis bertempat di Masjid Al-Haj Kampung Jerijih pada Isnin.
Tambah beliau, pengertian dalam isi kandungan Al-Quran dapat memberi inspirasi dan galakan kepada manusia agar lebih berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Terdahulu, Datuk Len yang juga ADUN Kuala Rajang memuji sikap kerjasama ditunjukkan oleh jabatan-jabatan kerajaan serta ketua-ketua masyarakat dan ketua kaum di kawasannya dengan turut sama menjayakan pelbagai program yang dirancang.
Seramai 11 orang peserta telah menyertai Tilawah Al-Quran peringkat daerah Tanjung Manis yang diadakan dari 7 hingga 8 Mei lepas di Masjid Al-Haj Kampung Jerijih.
Johan Qari telah disandang oleh Adeni Junaidi manakala Qariah dimenangi Salbiah Klen.
Turut hadir sama pada majlis ialah Ustaz Ahmad Shah Affandie, Pegawai Hal Ehwal Islam Daerah Daro Saifulbahry Alwie, Wakil Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Kaum.-UKAS.