SEBUYAU, 07 MEI 2023 (SNN): Semua lapisan masyarakat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta mengamalkan gaya hidup sihat disamping menjaga keselamatan diri terutama pada musim panas yang sedang melanda negara ketika ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi memberitahu, ketika musim panas ini masyarakat herus bertindak wajar dengan menjimatkan penggunaan air dan elektrik bagi mengurangkan tekanan terhadap bekalan utiliti dalam usaha mengelakkan berlakunya kekurangan sumber itu sepanjang musim panas ini.
“Dalam pada itu, kita juga harus membuat persediaan rapi terutama dari semua agensi air di seluruh negeri ini bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk rakyat selain menjaga kelestarian alam sekitar dengan mengelakkan pembaziran.
“Sebagai kementerian yang ditugas untuk menyediakan kemudahan awam atau utiliti iaitu merangkumi bekalan air, elektrik dan gas, saya telah memastikan semua agensi air di seluruh Sarawak sama ada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan LAKU Management di bahagian utara Sarawak supaya membuat persediaan rapi terutama kemungkinan berlakunya masalah kekurangan sumber air.
Beliau berkata sedemikian semasa menyempurnakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2023 peringkat Sebuyau di Dewan Pembangunan Sebuyau pada Sabtu.
Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau turut menasihatkan orang awam agar mengurangkan melakukan aktiviti di luar sekiranya cuaca terlampau panas bagi mengelakkan sebarang kesan daripada cuaca itu.
Tambahnya, semua lapisan masyarakat juga harus meminimakan aktiviti pembakaran terbuka terutama kebun-kebun yang boleh menyumbang kepada peningkatan suhu serta indeks jerebu ketika musim kering.
Dalam majlis itu juga, beliau turut mengumumkan bahawa kompleks pentadbiran Pejabat Daerah Sebuyau dan kaurters kakitangan yang baharu akan dibina di Bandar Baharu Sebuyau sebagai usaha untuk menginkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan di daerah ini.
Turut hadir sama Ahli Parlimen Batang Lupar; Mohd Shafizan Kepli, ADUN Beting Maro; Razali Gapor, ADUN Simunjan; Awla Dris, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Jefri Lias, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Syed Mohd Fauzi Shahab, Pemangku Residen Bahagian Samarahan; Mohamad Irwan Bahari Bujang dan Pegawai Daerah Sebuyau; Ayuradiman Bujang.