KOTA SAMARAHAN, 03 MEI 2023 (SNN): Majlis Rumah Terbuka anjuran Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Hajah Rubiah Wang disambut meriah dengan kehadiran ramai hampir 5,000 orang.
Majlis yang berlangsung di Dewan Suarah Samarahan sejak pukul 10 pagi tadi itu turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta menteri kerajaan negeri dan pusat.
Datuk Rubiah dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu, penganjuran majlis berkenaan adalah bertujuan bagi meraikan hari raya bersama rakyat di Kota Samarahan disamping mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat pelbagai kaum.
“Sambutan rumah terbuka ini merupakan salah satu cara untuk kita mengekalkan perpaduan antara kaum selain mewujudkan Keluarga Madani sesuai dengan negeri Sarawak yang terkenal dengan toleransi antara kaum” ujarnya.
Difahamkan majlis yang berlangsung itu juga turut dihidangkan dengan pelbagai juadah selain ‘booth’ dari jabatan-jabatan kerajaan yang juga menghidangkan pelbagai juadah raya kepada para pengunjung.
Turut hadir sama ke majlis adalah Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Unggah Embas serta isteri, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak; Datuk Amar Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dan Menteri Belia dan Sukan; Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia; Dato Sri Nancy Syukri dan dif-dif kenamaan lain.