KUCHING, 03 MEI 2023 (SNN): Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang meneruskan kunjungan sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri hari ke-12 dengan berkunjung ke kediaman Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak, Datuk Mohd Naroden Majais serta isteri Datin Masnah Ahmad di Demak Jaya di sini pada Rabu.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri Datin Amar Baduyah Bujang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel serta isteri Datin Haizan Ibrahim, Pengarah Jabatan Tanah Dan Survei Sarawak Datu Abdullah Julaihi dan Pegawai Daerah Gedong Abdul Khalid Manap.
Selain itu Temenggong Geoffry Mamat Kuchai, Pemancha Sarika Muda, Penghulu Najib Arbi, Francis Kunchi, Adian Salleh, Tuai Rumah Giris Mani, Ahli Jawatankuasa Ranting Pemuda-Pemuda Ketua Bapa Dan Wanita Dari Zon Ulu Gedong, Zon Pangkor dan AJK Surau Nut Addin Medan Hamidah turut hadir sama.
Pada majlis tersebut, Datin Masnah turut menyampaikan cenderahati kepada Puan Sri Datuk Amar Juma’ani.
Difahamkan lebih 150 orang tetamu turut menghadiri majlis tersebut yang terdiri daripada Ketua Jabatan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Gedong, Ketua Bapa, Wanita dan Pemuda PBB Gedong serta ahli dan pelbagai lapisan masyarakat setempat.
Pengunjung yang datang disajikan dengan pelbagai juadah makanan tradisi raya antaranya Laksa Sarawak, kek lapis Sarawak, ketupat, lemang, rendang dan sebagainya.-UKAS.