LAWAS, 03 MEI 2023 (SNN): Penduduk di Kampung Batu Dua di sini bakal mendapat manfaat daripada limpahan pelbagai pembangunan yang akan dilaksanakan di Lawas.
Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong berkata, penduduk di Kampung Batu Dua perlu bersedia dengan aktiviti pembangunan yang giat dilaksanakan memandangkan kampung tersebut paling dekat dengan bandar Lawas.
“Kita kena bersedia dengan pelbagai kemajuan yang akan dilaksanakan di sini apatah lagi dengan pembinaan Lapangan Terbang dan Pelabuhan Lawas nanti,” ujarnya semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Generasi Kampung Batu Dua di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut memohon penduduk tempatan untuk mengusahakan tanah dan kebun masing-masing serta menggiatkan aktiviti perikanan bagi menjamin bekalan makanan mencukupi untuk menampung keperluan bandar Lawas yang dijangka akan menjadi sebuah penempatan yang padat kelak.
Pada majlis tersebut, turut berlangsung penyampaian cek bagi geran bernilai RM 5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu Dua dan Rm20,000 kepada Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Lawas selain penyampaian sumbangan daripada JKKK Kampung Batu Dua kepada warga emas dan kanak-kanak.
Hadir sama, Ketua Kampung Batu Dua Lawas Haidan Dollah dan Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Batu Dua Zainuddin Gazali.-UKAS.