TEBELU, 16 APRIL 2023 (SNN): Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di Kampung Tebelu, Sebuyau merekodkan sebanyak 2,100 pengguna sejak pengoperasiannya pada awal Oktober 2016 hingga hari ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi memberitahu, PEDi Tebelu adalah satu-satunya pusat ekonomi digital yang ada di Daerah Sebuyau yang dikendalikan oleh Maxis.
“PEDi ini mula beroperasi sejak tahun 2016 yang lalu dilengkapi dengan 20 unit komputer dan 10 peranti tablet yang mana menyediakan perkhidmatan latihan keusahawanan, kelas ICT, kelas multimedia, sewaan bilik latihan, cetakan dan banyak lagi.
“Sudah pasti dengan adanya kemudahan ini dapat membantu para pelajar di kawasan luar bandar serta golongan usahawasan untuk mempelajari ilmu-ilmu perniagaan secara digital dengan pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh PEDi,” katanya ketika melakukan kunjungan ke pusat itu pada Sabtu.
Tambah Julaihi, PEDi ini adalah merupakan salah satu program diperkenalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di seluruh negara bagi membantu penduduk kawasan luar bandar mendapat akses internet dan latihan.
Jelasnya, beliau berharap kerajaan melalui SKMM akan membina lebih banyak lagi PEDi untuk kawasan Sebuyau dan kawasan luar bandar di seluruh Sarawak pada masa akan datang yang pasti akan memberi manfaat besar kepada rakyat.
Turut hadir sama Pengarah MCMC/SKMM Sarawak; Adiman Ajem dan para pegawai kanan MCMC/SKMM Sarawak, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian MUT; Syed Fauzi Sahab, Pegawai Daerah Sebuyau; Ayuradiman Bin Bujang, CTO SDEC; Hamadlan dan Pegawai SMA; Abg Azlan serta Pemanca Daerah Sebuyau; Hj Asli Yahya dan Ketu Kampung Hj Poly Mat bagi Kampung Tebelu.