SIMUNJAN, 12 APRIL 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak telah memutuskan tidak memberikan bonus sempena hari raya ini malah hanya memberi bonus kepada penjawat awam di negeri ini pada penghujung tahun sahaja.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, keputusan rasional itu adalah bagi berlaku adil kepada masyarakat di negeri ini yang menyambut pelbagai perayaan.
“Selepas saya berbincang dengan rakan kabinet (Menteri-menteri Kabinet Sarawak), saya rasa kita banyak menyambut perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Hari Gawai dan saya rasa kita mesti adil kepada semua perayaan.
“Sebab itu Kerajaan Sarawak memutuskan waktu perayaan kita ini pandai-pandailah kita berbelanja.
“Sekiranya kami beri bonus rakyat akan semakin banyak berbelanja, yang pentingnya ialah sekolah anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Cek Pampasan Bagi Projek Masterplan Mini Isthmus Gedong Samarahan di Dewan Masyarakat Gedong di sini pada Rabu.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, pemberian bonus pada penghujung tahun itu adalah penting yang akan membantu perbelanjaan ibu bapa yang mana anak mereka akan memulakan persekolahan.
Dalam pada itu, Premier Sarawak juga mengingatkan masyarakat untuk berfikir dengan rasional dalam membuat perbelanjaan untuk musim perayaan ini.
Hadir sama ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan; Ir. Aidel Lariwoo, ADUN Simunjan; Awla Dris, Ahli Parlimen Batang Sadong; Rodiyah Sapiee, Ahli Parlimen Batang Lupar; Mohamad Shafizan Kepli, mantan ADUN Gedong merangkap Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan; Datuk Mohd Naroden Majais, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak; Datu Sr Zaidi Mahdi, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak; Datu Abdullah Julaihi dan Pemangku Residen Bahagian Samarahan; Mohamad Irwan Bahari.-UKAS.