More
    Home Sarawak Limbang Daerah Lawas akan terus dibangunkan dengan pelbagai projek pembangunan infrastruktur dan utiliti

    Daerah Lawas akan terus dibangunkan dengan pelbagai projek pembangunan infrastruktur dan utiliti

    LAWAS, 07 APRIL 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak komited terus berusaha dalam memastikan Daerah Lawas tidak ketinggalan dan terus mengalami arus pembangunan selari dengan kawasan-kawasan lain di negeri ini.

    Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, pembangunan kemudahan infrastruktur di sini terus dipertingkatkan termasuk pengukuhan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik serta telekomunikasi.

    Menurutnya, usaha ini akan meningkatkan keyakinan pelabur untuk memilih Lawas sebagai tempat pelaburan mereka.

    “Sebagai contohnya, kita akan mempunyai lapangan terbang baharu yang lebih selesa dan canggih dan pelabuhan baharu selain pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Dengan itu, institusi pendidikan dan kesihatan dapat dipertingkatkan manakala pembangunan pejabat strategik juga akan diusahakan.

    “Dengan ini, kita akan membangunkan ekonomi dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya dalam Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Lawas (MDL) bagi penggal 2023 hingga 2025 di sini pada Khamis.

    Datuk Amar Awang Tengah merakam gamabr bersama Ahli Majlis Daerah Lawas bagi penggal 2023 hingga 2025.

    Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak menambah, kerjasama setiap lapisan masyarakat diperlukan dalam usaha mengimbangi pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar sekali gus menaik taraf hidup rakyat secara keseluruhannya.

    “Memang ada pembangunan yang mengambil masa samada cepat atau lambat, namun setiap daripadanya akan dilaksanakan mengikut perancangan yang telah ditetapkan,” ujarnya lagi.

    Menyentuh berkenaan peranan Ahli Majlis pula, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu menegaskan, mereka perlu memahami hala tuju serta dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak.

    “Hanya setelah memahami dasar dan keutamaan tersebut, maka Ahli Majlis dapat berfungsi dengan berkesan untuk memupuk persefahaman dan mendorong penglibatan masyarakat lebih-lebih lagi demi meningkatkan kesejahteraan hidup mereka,” jelasnya.

    Pada majlis tersebut, Datuk Amar Awang Tengah menyaksikan seramai 32 Ahli Majlis mengangkat sumpah penerimaan jawatan dengan diketuai oleh Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok selaku Pengerusi MDL.

    Turut hadir sama Ahli Parlimen Lawas; Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang; Yunus Tambi, Setiausaha MDL; Zulkipli Sahari serta wakil Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak; Abdoll Abu Muttalib Abu Seman.-UKAS.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Kerajaan Sarawak perluas akses internet di negeri ini di bawah Program...

    0
    KUCHING, 18 NOVEMBER 2024: Kerajaan Sarawak terus melaksanakan langkah proaktif untuk memperluas liputan internet di negeri ini melalui program Sarawak Linking Urban, Rural and...