SEBUYAU, 04 APRIL 2023 (SNN): Usahawan terutama dari golongan belia yang menjalankan perniagaan akan terus dibantu bagi membolehkan hasil perniagaan mereka terus berkembang.
Menteri Utiliti dan Teleomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berkata, kerajaan negeri telah banyak menyediakan pelbagai inisiatif dan program atau kursus bagi membantu usahawan terutama golongan muda mengembangkan perniagaan mereka.
“Bagi kawasan Sebuyau ini kita melihat ramai anak muda berani mencuba membuka perniagaan sendiri dan tugas kita adalah cuba sedaya upaya membantu dengan memberikan bantuan samada dari segi peralatan mahupun kursus kemahiran.
“Salah satu contoh yang dapat dilihat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kampung Sampat, Sebangan ini, seorang anak muda menjalankan perniagaan kedai gunting rambut,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Kerusi Gunting Rambut di RTC Sampat pada Isnin.
Mohammad Nasri Hanapi, 25, pemilik kedai berkenaan menzahirkan rasa syukur kerana menerima bantuan dua unit kerusi gunting daripada ADUN Sebuyau itu dan sedikit sebanyak dapat menambah keselesaan di premis miliknya.
Sebelum beredar ke pekan Sebuyau, Datuk Julaihi memberitahu, dengan bantuan terbabit dapat meringankan beban sekaligus meningkatkan pendapatan mereka sepanjang menjalankan usaha berkenaan di masa akan datang.
Turut hadir sama SAO Noor Fazireen Yusuf dan SAO Kelvin Unggin dari Pejabat Daerah Sebuyau.