KUALA LUMPUR, 23 FEBRUARI 2023 (SNN): Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar diiringi Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menghadiri Majlis Raja-Raja ke-261 di Istana Negara bagi mewakili Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Mesyuarat dua hari bermula Rabu itu telah melibatkan keberangkatan semua Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan dan Perlis dengan dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Terdahulu sebelum mesyuarat, Sultan Sharafuddin berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi 103 anggota tentera daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Utama.
Baginda kemudiannya berkenan menanam Pokok Sepang di perkarangan Istana Negara sebagai simbolik mesyuarat tersebut dengan disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.-UKAS.