BELADIN, 13 NOVEMBER 2022 (SNN): Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meneruskan usaha penyukatan Tanah NCR di bawah Seksyen 18 KTN, demikian menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika menyempurnakan penyerahan Surat Hak Milik Tanah di Dewan Masyarakat Beladin, Pusa, di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut seramai 74 penduduk telah menerima Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN di bawah penyukatan NCR Inisiatif Baru yang melibatkan kawasan Entebu-Selambong/Muton (50 lot), dan kawasan Sungai Bras, Beladin sebanyak 37 lot.
Dalam masa yang sama, Datuk Amar menggesa agar penduduk di kawasan Parlimen Batang Lupar khususnya kawasan Beladin dan sekitarnya memberikan sokongan padu kepada calon GPS pada Pilihan Raya Umum kali ini.
“Kita mahu kemenangan besar untuk GPS terutama bagi kawasan ini agar lebih banyak pembangunan yang akan dilaksanakan pada masa akan datang,” tegasnya.
Turut hadir sama mantan Ahli Parlimen Batang Lupar; Datuk Seri Hajah Rohani Abdul Karim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro; Razaili Gapor dan calon GPS Batang Lupar; Mohamad Shafizan Haji Kepli.