DARO. 24 OKTOBER 2022 (SNN): Pembinaan Jambatan Batang Lassa akan menjadi pemangkin dalam mengubah lanskap pembangunan sosioekonomi di Daro apabila ia siap kelak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, selain Jambatan Batang Lassa, pembinaan dua lagi jambatan iaitu Jambatan Batang Igan dan Jambatan Batang Paloh juga bakal mengangkat potensi yang tinggi bagi kawasan Kuala Rajang dalam pembangunan ekonomi.
“Sebab itu saya bersetuju kita menubuhkan satu agensi yang khas untuk pembangunan di kawasan ini iaitu RADDA (Agensi Pembangunan Delta Rajang).
“Dengan RADDA, kita dapat mengkoordinasikan pembangunan di seluruh kawasan Rajang Delta. Dan saya minta Datu Len menjadi pengerusinya dan bersama-sama wakil rakyat di sini akan membuat perancangan,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Lawatan Kerja Rasmi ke Daro, semalam.
Tambah beliau, penyediaan infrastruktur asas seperti air, elektrik dan jambatan sangat mustahak untuk membangunkan ekonomi rakyat di kawasan itu.
Dalam majlis sama, Premier Sarawak turut mengumumkan berita gembira kepada warga Daro dengan meluluskan pembinaan Tebingan Daro yang bernilai lebih RM30 juta.
Selain itu, turut dalam perancangan untuk dibina Pasar Tani baru yang lebih kondusif untuk para petani dan nelayan di Daro memasarkan hasil tani dan laut mereka.
Berucap lanjut, Premier Sarawak berkata tidak ada negeri dalam Malaysia mempunyai dasar seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak untuk membantu rakyatnya memiliki kediaman sendiri yang lebih moden dan teratur.
Katanya, selain membina rumah yang dilengkapi dengan prasarana lengkap, dasar baharu itu juga memastikan rakyat khususnya golongan B40 dibantu membeli rumah dengan mudah.
“Saya sudah ubah dasar bahawa semua kawasan perumahan mesti ditembok, paritnya konkrit dan juga dimasukkan bekalan elektrik dan air. Selalunya untuk satu lot, harga menembok dan menyediakan infrastrukur ini dalam 12 point lebih kurang RM150,000.
“Dasar kerajaan kita yang baru ini memastikan semua perkara ini disediakan dan lot RM150,000 akan ditanggung oleh GPS. Ini bermakna anda membeli rumah yang lengkap dengan infranya”, jelasnya lagi.
Selain itu, kerajaan GPS juga menyediakan bantuan bayaran pandahuluan sebanyak RM10,000 untuk pembeli dalam kalangan B40 dan M40 manakala baki pinjaman akan dibayar melalui Mutiara Mortgage and Credits Sdn Bhd dengan kadar faedah sebanyak 1 peratus sahaja.
Terdahulu, beliau diberi taklimat oleh Ketua Bahagian Pelaksana Projek Perbadanan Perumahan Sarawak (HDC) Mimi Sulastrie Jeman mengenai pelaksanaan projek tersebut.
Projek menelan kos sebanyak RM36.5 juta itu telah bermula sejak Julai 2022 dan dijangka siap pada Mei 2023 dengan melibatkan pembinaan sebanyak 28 unit rumah.
Premier Sarawak kemudiannya merasmikan Kompleks Sukan Daro yang telah selesai dinaiktaraf bermula sejak 11 September 2022 dan siap sepenuhnya pada 10 Jun 2021 dengan menelan kos sebanyak RM3.3 juta.
Turut hadir sama ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi); Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli; Datu Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan; Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS; Datuk Abdullah Saidol, ADUN Daro; Shafiee Ahmad, Penyandang Ahli Parlimen Igan; Tn Hj Ahmad Johnnie Zawawi, Penyandang MP Tanjung Manis; Ir Yusuf Wahab dan ADUN-ADUN tempatan lain.-UKAS.