KUCHING, 15 OKTOBER 2022 (SNN): Isu kesihatan berkaitan obesiti merupakan antara masalah terbesar rakyat Malaysia. Peratusan rakyat menghidapi masalah ini semakin meningkat dari hari ke hari bahkan isu kesihatan ini turut melanda landskap pendidikan termasuk pusat pengajian tinggi.
Memetik Sinar Harian, di Universiti Malaysia Pahang (UMP) sahaja pusat kesihatannya merekodkan seramai 579 kakitangan telah dikategorikan mempunyai risiko penyakit obesiti tahap satu dan dua, selain ‘abnormal lipid profile’ menerusi saringan kesihatan staf yang dijalankan pada 2020.
Pengarah Pusat Kesihatan UMP, Dr Khairul Salleh Abdul Basit berkata, isu kesihatan ini sepatutnya perlu dititikberatkan oleh semua staf bagi memastikan produktiviti kerja tidak terganggu.
“Berdasarkan jumlah tersebut, sebanyak 4.97 peratus atau 80 orang staf telah bebas penyakit berisiko pada 2021, manakala bagi 2022 pula, sebanyak 6.39 peratus atau 103 orang staf telah mencapai sasaran melalui saringan kesihatan berkala yang dijalankan oleh pusat kesihatan.
“Selaras dengan Pelan Strategik UMP 2021 hingga 2025, iaitu pengurangan prevalens faktor risiko penyakit tidak berjangkit dalam kalangan staf, pihak kami telah mengorak langkah dengan melaksanakan program I Fit and Eat Right (IFitER) yang memfokuskan kepada program pengurusan berat badan dalam kalangan staf terlibat.
“Bagi siri pertama ini akan melibatkan seramai 80 staf yang terpilih untuk mengikuti program dengan menggunakan modul yang telah dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) selama enam bulan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, program ini mendapat sokongan dan kerjasama erat Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan dan Pejabat Kesihatan Daerah Pekan.
“Harapan saya adalah agar program seperti ini dapat memupuk kesedaran staf akan pentingnya menjaga kesihatan diri bukan sahaja untuk misi menurunkan berat badan semata-mata tetapi bebas untuk hidup secara sihat,” ujarnya.
Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan UMP merangkap penyelaras program Dr Norhilda berkata, pihaknya telah menerima hampir 300 permohonan dalam kalangan staf hanya dalam tempoh 48 jam sahaja, namun hanya 80 peserta dipilih.
“Pemilihan ini dilakukan mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh KKM iaitu 18 tahun ke atas dan mempunyai BMI 25 hingga 35 serta tidak mempunyai sebarang penyakit kronik.
“Syarat ini sangat penting bagi memastikan tiada risiko yang boleh mendatangkan kecederaan dan perkara yang tidak diingini terjadi kepada peserta,” tegas beliau.
Hadir sama dalam program terbabit adalah Pegawai Kesihatan Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah Pekan; Dr Shahidan Haron dan Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan UMP merangkap Penyelaras Program IFitER, Dr Norhilda Abdul Karim.