SIBU, 04 OKTOBER 2022 (SNN): Ibu bapa digesa untuk memantau dan bertindak segera sekiranya mengetahui anak mereka terlibat dalam aktiviti sosial terutama penyalahgunaan dadah.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Dr Annuar Rapaee berkata, tindakan yang harus diambil adalah dengan membawa anak mereka segera menjalani pemeriksaan darah, air kencing, memohon pertolongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antidadah dan sebagainya.
“Sering kali berlaku dalam masyarakat setempat ramai ibu bapa berang apabila anak mereka dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah. Malah, mereka menafikannya dan memarahi individu yang menuduh tanpa usul periksa anak sendiri.
“Soal dadah ini tiada perkara mustahil maka bertindak dengan cepat sebaik mengetahui anak dimaklumkan terlibat penyalahgunaan dadah,” katanya ketika menyempurnakan Kempen Antidadah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Thian Chin pada Ahad.
Kempen yang berlangsung setengah hari itu adalah sebahagian daripada Program Komuniti Bebas Dadah dikendalikan oleh Sibu Methodist Victory Home dan Penjara Pusat Sibu yang turut memberi ceramah berkaitan dadah kepada peserta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu juga menambah, jika ibu bapa cepat bertindak maka anak-anak mereka dapat diselamatkan.
“Jika anda bertindak cepat anak-anak dapat pulih dan kembali normal adalah sangat tinggi tetapi jika sebaliknya ia sukar untuk kembali normal seperti sediakala. Penyalahgunaan dadah mendatangkan banyak implikasi kepada mental dan fizikal,” ujarnya.
Beliau turut menggesa supaya ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti serta tingkah laku anak-anak mereka.
Mengulas lanjut, beliau berkata isu dadah sangat serius kerana ia mendatangkan banyak masalah bukan sahaja dari segi mental dan tingkah laku seseorang tetapi memusnahkan masa depan mereka.
Justeru itu, Dr Annuar Rapaee menggesa penglibatan semua pihak bersama membanteras masalah dadah dan tidak meletakkan tanggungjawab itu di bahu satu-satu pihak sahaja.
“Dari peringkat pengguna dadah dan pengedar dadah, semua itu perlu kita bendung kerana dadah boleh merencatkan seseorang malah merosakkan negara seandainya tiada penglibatan bersepadu menangani masalah itu,” tambahnya.
Hadir sama Pengerusi Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Cina Bahagian Sibu; Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming, wakil Pejabat Daerah Sibu; Cynthia Ong dan Pengerusi Lembaga Pengurusan SJKC Thian Chin; Ting Tiong Hua.-UKAS.