SEBUYAU, 22 OGOS 2022 (SNN): Selepas selesai menyempurnakan majlis penyerahan geran dan bantuan pendidikan di Sebuyau, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap ADUN Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi kemudian bergerak hadir ke Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Kebakaran Pasar Sebuyau.
Bantuan bernilai RM54,450.00 daripada Kerajaan Negeri Sarawak dan RM2,700.00 daripada Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak diserahkan kepada sembilan mangsa yang terlibat dalam kebakaran pada 6 Ogos yang lalu.
Tambah beliau, bantuan tersebut bertujuan bagi memulihkan perniagaan kecil bagi lapan orang mangsa manakala soerang lagi mangsa menerima bantuan dari tabung bantuan segera dan bantuan belian bahan binaan.
Ujar Julaihi, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin terhadap kebajikan serta keperluan mangsa secara khususnya dan amnya kepada semua rakyat yang memerlukan.