KUCHING, 20 OGOS 2022 (SNN): Seorang pekerja warganegara Bangladesh berjaya menyimpan lebih RM2 juta sepanjang 30 tahun bekerja di Malaysia, lapor Sin Chew Daily.
Dia menggunakan wang itu untuk membina blok pangsapuri, yang disewanya di kampung halamannya. Kisahnya tersebut dikongsikan di media sosial oleh seorang netizen.
Menurut pekerja itu yang tidak mahu didedahkan pekerjaannya, dia memperoleh kira-kira RM15,000 sebulan.
Dia berkata, dia menghantar wang itu ke rumah secara beransur-ansur. Selepas menyimpan wang yang mencukupi, laporan itu menyatakan bahawa keluarganya membeli sebidang tanah dengan harga RM600,000 untuk pembinaan blok tersebut.
Netizen berkenaan berkata seorang pekerja Bangladesh yang bekerja keras dalam sektor pembinaan boleh memperoleh pendapatan antara RM5,000 dan RM6,000 sebulan.
Netizen lain menyatakan bahawa kebanyakan pekerja di Malaysia ini bekerja berjam-jam tanpa hari cuti.
Salah seorang daripada mereka yang pernah berniaga di Bangladesh berkata, kebanyakan penduduk di situ memiliki rumah.
“Kehidupan mereka mungkin sukar di Malaysia, tetapi di tanah air, mereka kaya,” tulisnya.