KABONG, 17 OGOS 2022 (SNN): Penularan wabak Covid-19 bermula awal tahun 2020 yang lalu telah banyak mengubah corak kehidupan masyarakat khususnya umat Islam dalam aspek pengajaran dan pembacaan Al-Quran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir memberitahu, masyarakat Islam kini lebih memilih untuk membaca Al-Quran dengan lebih mudah walau dimana jua dengan adanya aplikasi dalam peranti telefon bimbit.
“Seiring dengan teknologi dan keperluan umat Islam moden, Al-Quran kini tersedia dalam pelbagai produk digital dan aplikasi perisian malah terdapat aplikasi yang boleh dimuat turun dalam telefon pintar menyediakan tafsir serta doa-doa pilihan.
“Semuanya kini berada dihujung jari dan saya difahamkan sejak penularan wabak Covid-19, pembelajaran Al-Quran secara dalam talian juga semakin mendapat tempat,” kata beliau semasa sesi ucapan Majlis Penangguhan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kabong Tahun 1444 Hijrah/2022 Masihi di Masjid Assabirin pada Selasa.
Dalam pada itu, Chee Kadir turut menyatakan sumber utama bagi umat Islam adalah Al-Quran kerana ia merupakan wahyu yang lengkap dan terakhir kepada junjungan besar Baginda Nabi Muhammad SAW untuk seluruh umat manusia supaya bertaqwa kepada Allah SWT.
Selain itu, Al-Quran turut mendorong umat Islam agar menuntut ilmu, mempelajari, menganalisis dan menggunakan akal yang dikurniakan Allah SWT untuk dimanfaatkan kearah kebaikan yang pada akhirnya memberi jaminan kejayaan di dunia dan akhirat.
Untuk rekod, tahun ini seramai 15 peserta yang terdiri daripada 5 Qari dan 10 Qariah mengambil bahagian dalam Majlis Tilawah Al-Quran pada kali ini yang mana kategori Qari dimenangi oleh Mohd Azriftri Bin Setia dan kategori Qariah dimenangi Hajah Fatimah Binti Adenan.
Johan bagi kedua-dua kategori membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,200 dan sijil penyertaan, naib joha menerima RM950 dan sijil penyertaan, tempat ketiga menerima RM700 beserta sijil manakala saguhati menerima RM150 beserta sijil yang mana kesemua hadiah disumbangkan oleh ADUN Kabong bersama pihak Jawatankuasa Masjid Assabirin Kbaong.
Turut hadir sama adalah Pegawai Daerah Kabong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis; Tuan Haji Mohamad Rashdan Bin Haji Hazemi, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Assabirin; Encik Johar Bin Bidi, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong; Kr Haji Ulin Bin Tabur, Pengerusi Jemaah Hakim; Ustaz Anwar Bin Rosli, Ketua-Ketua Masyarakat serta muslimin dan muslimat berdekatan.