KUALA LUMPUR, 16 OGOS 2022 (SNN): Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi mengetuai rombongan kementeriannya mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat MEASAT Teleport and Broadcast Centre di Cyberjaya pada Isnin.
Lawatan kerja dan kunjungan hormat kepada pengurusan tertinggi MEASAT adalah bertujuan bagi mewujudkan jalinan komunikasi untuk tujuan urusan rasmi pada masa depan.
Kunjungan itu juga diadakan bagi mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan MEASAT dan fungsinya secara terperinci dan mengetahui lebih mendalam berkenaan dengan infrastruktur sistem satelit di Malaysia.
Hasil Lawatan mendapati penggunaan teknologi Satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT) sesuai digunakan untuk kawasan pedalaman terutamanya kawasan terpencil dan sukar diakses.
MEASAT-3d yang baharu dilancarkan pada 22 Jun 2022 dan telah beroperasi sejak Julai 2022 telah meningkatkan kelajuan jalur lebar pada kadar iaitu 30Gbps melalui V-SAT yang menggunakan Ka Band (satellite feature).
Pengurusan tertinggi MEASAT dan Kementerian berkongsi serta bertukar pendapat mengenai kemudahan satelit yang boleh digunapakai dan diadaptasi dengan geografi Sarawak dengan mengutamakan keperluan penggunaan internet oleh penduduk di kawasan pedalaman.
Turut mengiringi Datuk Julaihi ialah Timbalan Menteri Utiliti & Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi); Datuk Liwan Lagang, Setiausaha Tetap, Kementerian Utiliti & Telekomunikasi Sarawak; Dato Alice Jawan Empaling, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sarawak; Adiman Ajem, Pengerusi Sarawak Multimedia Authority; Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Digital Economy Corporation Sdn Bhd; Sudarnoto Osman.-UKAS.