DEBAK, 03 OGOS 2022 (SNN): Proses pembinaan tempat parkir baru di Pekan Debak perlu dipercepatkan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di daerah tersebut terutama musim perayaan atau keramaian.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohammad Razi Sitam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata, projek pembinaan tapak parkir sememangnya telah dicadangkan namun tergendala susulan pandemik COVID-19 yang melanda pada dua tahun lepas.
“Projek tersebut sedang dalam usaha bersama agensi pelaksana Majlis Daerah Betong bagi mendapatkan tapak yang sesuai untuk dijadikan tempat parkir yang baru dan mempercepatkan proses pembinaan ini agar dapat dinikmati oleh penduduk dan pengunjung yang datang ke situ.
“Selain itu, projek berkenaan bagi jangka masa panjang kelak mampu mengatasi masalah kesesakan dan kenderaan yang kekurangan tempat parkir terutamanya bila tiba musim perayaan serta majlis keraimaian,” ujarnya.
Selain daripada itu, Mohammad Razi turut berbincang dengan pihak Majlis Daerah untuk membaikpulih kawasan taman rekreasi Debak yang yang kini dipenuhi dengan pokok yang terlalu semak sehingga mengganggu pemandangan di sekitar taman tersebut.-UKAS.