KUCHING, 28 JULAI 2022 (SNN): Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak sedang bekerjasama dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk mempercepat pemprosesan lebih 40,000 permohonan penyambungan bekalan elektrik menerusi projek Dana Permohonan Tambahan atau Lewat (ALAF).
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, usaha ini adalah bagi memastikan setiap isi rumah khususnya di luar bandar mampu menikmati kemudahan bekalan elektrik dalam masa terdekat.
“ALAF merupakan projek berterusan yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak sejak tahun 2018 dan sehingga kini, lebih kurang 8,000 permohonan telah diselesaikan.
“Sebanyak RM80 juta dana telah diluluskan pada tahun 2018 manakala penambahan RM150 juta pula telah dimohon baru-baru ini, jadi secara keseluruhannya ia melibatkan dana sejumlah RM230 juta,’’ katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Bengkel Pelaksanaan Projek ALAF Bersama Pihak Berkepentingan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau turut berharap bilangan permohonan itu merupakan jumlah isi rumah yang sebenarnya memerlukan perkhidmatan bekalan elektrik.
“Sebab itu, saya menyarankan kepada semua pihak terlibat sama ada kementerian, SEB mahupun pihak konsultan agar bekerjasama dengan Pejabat Residen, Pejabat Daerah dan Pejabat Daerah Kecil untuk mendapat jumlah yang betul kerana harapan kita adalah agar tidak ada yang tertinggal mendapat perkhidmatan ini,’’ tegasnya.
Dalam pada itu, Datuk Julaihi menyambut baik penganjuran bengkel tersebut sebagai platform membincangkan secara mendalam isu serta cara-cara mempercepat dan juga memudahkan pelaksanaan ALAF terutamanya di kawasan luar bandar.
Turut hadir pada majlis penutupan bengkel tersebut ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti); Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengarah Bahagian Bekalan Elektrik, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi; Syed Mohamad Fauzi Shahab dan Penasihat Teknikal untuk Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi; Cho Kwong Ming.-UKAS.