LIMBANG, 29 JUN 2022 (SNN): Pembinaan Asrama Pusat Tingkatan 6 di daerah Limbang telah mencapai hampir 50 peratus siap dan akan memberi keselesaan kepada para pelajar apabila siap beroperasi kelak.
Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pembinaan asrama berkenaan dijangka akan siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.
“Kalau ia dapat siap, kita akan memulakan sesi persekolahan pada awal tahun hadapan atau penghujung tahun hadapan.
“Ini akan memudahkan pelajar lepasan Tingkatan 5 untuk meneruskan pelajaran di Pusat Tingkatan 6 ini yang silabusnya adalah sama seperti matrikulasi atau pra universiti,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Perasmian Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak Tahun 2022 Peringkat Daerah Limbang di Dewan Kampung Bunga Raya pada Sabtu lepas.
Bercakap mengenai Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak itu, Datuk Dr Abdul Rahman berkata, ia memberikan peluang kepada pelajar lepasan Tingkatan 5 khususnya untuk melihat peluang-peluang meneruskan pengajian di peringkat tertinggi.
“Kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak ada menyediakan tempat untuk mereka di universiti dan institusi pengajian tinggi milik Yayasan Sarawak itu sendiri. Sebagaimana yang kita ketahui antaranya adalah Universiti Swinburne, Universiti Curtin, UTS dan sebagainya.
“Selain menyediakan tempat, kerajaan juga menyediakan biasiswa dan busari kepada para pelajar terutamanya golongan B40.
“Jadi saya menyeru kepada para pelajar menggunakan peluang keemasan ini untuk meneruskan pengajian mereka terutamanya dalam bidang kemahiran separa dan kemahiran penuh dan bidang Sains yang mana ini menjadi tumpuan Kerajaan Sarawak yang telah pun menyediakan perancangan untuk menarik pelaburan berasaskan industri ke negeri ini.
Sementara itu, dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Baucar Program Bantuan Pakaian Seragam Sekolah berjumlah RM180,000 secara simbolik kepada Pejabat Pendidikan Daerah Limbang melibatkan 40 sekolah di daerah Limbang dan hadiah kepada 36 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Turut hadir, Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said, Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Mat Zinan Wahit, dan Penolong Pengarah (Biasiswa) Yayasan Sarawak Ratnasari Mansor.-UKAS.