KUCHING, 25 JUN 2022 (SNN): Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hadir merasmikan Masjid Darul Naim, Kampung Lintang, Kuching pada Jumaat.
Sejurus tiba, beliau telah diberikan taklimat mengenai pembinaan masjid ini oleh Pengerusi Masjid Darul Naim Abang Asri Abang Ariffin sebelum dibawa meninjau bilik mesyuarat dan kemudahan lain yang terdapat di masjid ini.
Beberapa kemudahan telah dibina di masjid ini antaranya ruangan akad nikah dan persandingan, kemudahan pengurusan jenazah beserta kenderaan jenazah.
Turut disediakan ruangan Pustaka Digital yang berperanan sebagai perpustakaan mini dalam perkembangan modal insan dan ruangan masjid yang digunakan untuk aktiviti masjid, kemasyarakatan dan belia.
Lebih menarik lagi satu sistem solar panel sebesar 20KWH telah dipasang menjadikan masjid ini “Enviromental Friendly dan Green Technology’ serta, penggunaan LED Light Fitting yang menjimatkan penggunaan tenaga.
Selepas itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menandatangani plak digital sebagai tanda perasmian Masjid Darul Naim dan menyaksikan penyerahan bangunan masjid oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Baharu Kampung Lintang kepada Jabatan Agama Islam (JAIS) Sarawak.
Bangunan masjid ini merupakan bangunan yang kelima sejak surau pertama didirikan pada tahun 1939 yang merupakan mercu tanda perkembangan syiar Islam di Kampung Lintang yang mempunyai keluasan 1,780 meter persegi yang boleh memuatkan 1,500 jemaah dalam satu-satu masa dan dibina di atas keluasan tapak keseluruhan sebesar 1,888.90 m2.
Masjid Darul Naim yang bernilai RM9 juta ini difahamkan mula dibina pada 14 Disember 2018 sumbangan Kerajaan Sarawak dan hasil sumbangan serta infaq daripada orang ramai. Ia mula beroperasi di bangunan baharu yang serba moden ini pada 11 April lepas.
Turut hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang; Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Mufti Negeri Sarawak; Sohibus Samahah Datu Kipli Yassin, Yang Di Pertua Majlis Islam Sarawak (MIS); Datu Misnu Taha, Pengerusi Masjid Darul Naim Kampung Lintang Kuching; Awang Sulaiman Awang Bujang dan Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Baru Kampung Lintang; Abang Asri Abang Arifin.-UKAS.