KUCHING, 18 Julai 2019 (SNN)- Sebanyak 23 buah rumah di bawah Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS), DUN Demak Laut telah siap dibaik pulih dan 12 buah lagi kini dalam proses baik pulih.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hj Hazland Abang Hj Hipni berkata PPRMS ini merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak dalam membantu penduduk yang rumahnya serba kekurangan dan memerlukan pembaikan.
“Ketika ini sebanyak 23 buah rumah di bawah PPRMS telah pun siap dibaik puih. Hanya tinggal 12 buah rumah lagi yang masih dalam proses baik pulih. Bagaimanapun, jumlah ini akan bertambah memandangkan adanya permohonan baru yang diluluskan berdasarkan kepada permohonan yang diterima dan diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau PPRMS di Kampung Tabuan Tengah, semalam. Dalam tinjauan itu, beliau berpuas hati dengan hasil kerja yang dilaksanakan dalam baik pulih rumah PPRMS ini.
Dr Hazland menambah, projek ini tidak melalui orang tengah sebaliknya terus menerusi Pusat Khidmat DUN Demak Laut dan dipantau sendiri olehnya.
“Untuk memastikan mutu kerja baik pulih rumah ini sentiasa terjamin dan bermutu, saya sendiri akan turun padang dan meninjau setiap projek PPRMS ini seperti yang dilakukan pada hari ini (semalam). Ini kerana projek PPRMS ini adalah satu amanah atau integriti yang diberikan Kerajaan Sarawak kepada setiap wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk dilaksanakan terus kepada rakyat yang memerlukan.
“Untuk itu, saya akan pastikan amanah dan intergriti ini akan sentiasa dipatuhi dan dilaksanakan demi untuk rakyat kawasan DUN Demak Laut,” tambahnya.
Hadir sama ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Tabuan Tengah.