KUCHING – Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Kerajaan Sarawak akan membuat bayaran balik premium tanah bagi lot-lot perumahan dalam Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) dengan jumlah RM2,500 bagi setiap satu lot. Pembayaran balik ini melibatkan sebanyak 7,174 surat tanah dengan jumlah anggaran keseluruhan sebanyak RM43,447,264.
Dalam sidang media pada 6 September 2018, Ketua Menteri menjelaskan hal ini merupakan satu cara untuk membantu mengurangkan beban hidup rakyat Sarawak terutama mereka yang berpendapatan rendah. Beliau telah mengumumkan pembayaran balik premium ini pada 7 Mei yang lalu. Menurut beliau, pihak kerajaan telah menguat kuasakan perkara ini bermula 6 Mei 2018 dan premium tanah bagi lot-lot perumahan dalam skim ini dikenakan dengan tidak melebihi RM2,500 untuk setiap lot.
Jelasnya lagi, “sebarang bayaran yang dibuat pada atau sebelum tarikh tersebut yang melebihi RM2,500 akan dibayar balik.”
Akan tetapi, pembayaran balik ini hanya dibayar kepada pemilik asal tanah, lot-lot yang dipindahkan kepada pewaris/pemegang surat pentadbiran dan lot-lot yang dipindahkan antara ahli keluarga yang terdekat. Abang Johari turut menegaskan bahawa bayaran balik ini tidak boleh dibuat ke atas lot-lot yang dipindahkan menerusi jual-beli.
Pemilik tanah yang layak menerima pembayaran balik diingatkan agar mengisi dan menghantar permohonan mereka kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) sebelum tarikh 31 Oktober 2019. Sementara itu, bayaran balik hanya boleh dibuat secara ansuran oleh pemiliknya dalam tempoh 10 tahun iaitu RM250 setahun.
Persidangan ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Tanah adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Muda Perancangan Bandar dan Wilayah, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh dan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Zaidi Mahdi.
Oleh: Akmal Azlan
Apa beza pemilik asal bayar dengan orang yang beli bayar premium ya ? Yang beli atau Terima pindah milik ya yang sebenarnya bayar premium bukan pemilik asal , kecuali lah mun pemilik asal dah claim , MUN NOK NULONG RAKYAT NULONG MENAR MENAR BAH JANGAN SETENGAH SETENGAH