KUCHING, 11 MAC 2021 (SNN) : Pusat beli-belah Majma’ Mall kini diperkenalkan dengan konsep pusat beli-belah yang pertama di Maysia mempunyai zon halal di dalam premis berkenaan yang setakat ini menempatkan sembilan buah gerai diiktiraf sijil halal.
Menurut Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datu Misnu Taha, konsep Zon Halal yang diperkenalkan di Majma’ Mall itu merupakan projek kedua selepas Zon Halal Medan Selera Lundu dan yang pertama diperkenalkan di Malaysia dengan konsep mengetengahkan produk halal.
Kita turut membuat beberapa perancangan melaksanakan projek ini dibeberapa kawasan seperti di Taman Harmoni Sibu dan mungkin diperluaskan hingga ke Miri, Bintulu dan tempat lain. Disamping itu, pemantauan terhadap pensijilan halal yang dimiliki oleh premis-premis yang memiliki sijil halal juga perlu bagi memastikan mereka mengetahui akan manfaat memiliki sijil itu terhadap membina kepercayaan masyarakat.
Beliau berkata sedemikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Zon Halal Majma’ Mall pada Khamis.
Tambah beliau, Unit Halal Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) kini sedang giat mempromosikan sijil halal kepada premis-premis termasuk hotel bagi mendorong pengusaha tempatan untuk mendapatkan sijil halal serta faedahnya keatas kualiti makanan yang disediakan kepada pelanggan.
Jelasnya, pelaksanaan projek itu melibatkan beberapa agensi iaitu Bahagian Pengurusan Halal (BPH), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Pejabat Agama Islam Bahagian (PAIB) Kuching, Pengurusan Kompleks Islam Sarawak (KIS) dan pelajar praktikal jurusan Pengurusan Halal dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED).-Sumber UKAS.