More
    Home Blog Zara Qairina dan Nurly Shahirah: Pemudi Al-Quran

    Zara Qairina dan Nurly Shahirah: Pemudi Al-Quran

    Zara Qarina Mahathir, nama anak muda dari Spitang Sabah kini menjadi carian tertinggi di lama-laman sosial media Malaysia. Gadis muda cantik molek itu telah telah dtemui dalam keadaan cukup menyayat hati siapa saja yang membaca hantaran-hantaran kisah beliau di media sosial. Tidak kurang juga sejak perkongsian ibunya, pelbagai teori dan spekulasi berlegar-legar baik Facebook, Thread apatahlagi laman sosial X.

    “Jadi, demi mendapat jawapan itu dan keadilan untuknya, saya mengarahkan dua peguam menguruskan proses bagi membolehkan kubur anak digali semula untuk melakukan bedah siasat terhadap jenazahnya,” kata Noraidah Lamat, 45 ibu bepada allahyarhamah Zara Qairina

    Pun begitu, penulis tidak berhasrat untuk membicarakan fakta-fakta kes yang telah banyak dilaporkan oleh akhbar tempatan, bahkan diikuti rapat akhbar-akhbar luar negara. Yang amat menarik perhatian penulis adalah ibrah dari kisah gadis ini terutama bersangkutan jasad yang menjadi sebutan ramai ketika kubur Zara Qairina digali semula. Ramai heboh memperkatakan tentang jasad Zara Qairina yang berdasarkan beberapa sumber terdekat, didapati masih utuh meskipun telah menginjak 27 hari dikebumikan.

    “Jenazah arwah masih utuh, wajahnya seperti semalam (sebelum dikebumikan)” – Ibu arwah Zara Qairina

    “Wajahnya masih seperti semalam, masih,” –  Amani Azral, Imam Masjid Haji Hashim, Pekan Sipitang.

    Amani Azral, Imam Masjid Haji Hashim, Pekan Sipitang dalam penstriman live berkongsikan mengenai keadaan jasad allahyarhamah usai proses pengorekan semula

    Semasa proses penggalian semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang Sabah, beberapa individu dipercayai anggota keluarga terdekat termasuk nenek kepada Zara Qairina setia menemani proses tersebut. Semasa ditemu bual, beliau berkata “Zara pendiam tapi tidak tinggal sembahyang, dia suka mengaji“. Kedekatan allahyarhamah Zara Qairina dengan Al-Quran tampak jelas dari video-video allahyarhamah yang begitu bangga sekali diterima masuk ke aliran dini di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah.

    Video yang dirakam allahyarhamah Zara Qairina yang sangat berbangga diterima kasih ke sekolah aliran agama

    Hakikatnya, cerita-cerita sebegini dalam kalangan umat Islam bukanlah sesuai yang asing. Namun yang jelas, sebahagiannya menerima cerita-cerita berkenaan sebagai ibrah insan terbaik, tidak kurang pula yang menafikan bahkan amat dikhuatiri ada pula yang berlebih-lebihan hingga membawa kepada perbuatan khurafat sebagaimana kes Nurly Shahirah, pelajar UPSI.

    Al-Quran dan Hadith tentang Alam Kubur

    Alam kubur atau barzakh ialah fasa kehidupan antara kematian dan kebangkitan semula pada Hari Kiamat. Dalam Islam, di peringkat ini roh manusia  berada di suatu tempat sementara menunggu hingga Hari Kiamat. Dalam pada itu, roh-roh dihadapkan sama ada dengan kenikmatan kubur atau azab kubur, bergantung kepada amal masing-masing.

    Yang jelas, Al-Quran dan Hadith banyak menjelaskan realiti alam barzakh, terutama sekali tentang kemuliaan Al-Quran yang dijanjikan Rasulullah SAW sebagai as-Syafaat iaitu “pelindung”, atau “penyelamat” di alam kubur.

    Surah Al-Baqarah dan Surah Ali Imran, Awan-Awan yang Meneduhkan

    Daripada Abu Umamah al-Bahili R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda dengan mafhumnya:

    “Bacalah al-Quran, kerana ia akan memberikan syafat kepada para ‘sahabatnya’. Bacalah ‘Dua Bunga’: Surah al-Baqarah dan Surah Ali Imran, kerana pada hari Kiamat nanti, keduanya akan datang seolah-olah dia gumpalan awan, atau seperti dua bayang-bayang, atau seperti dua gerombol burung-burung yang berbaris, yang akan membela para ‘sahabatnya.’ Bacalah surah al-Baqarah kerana mengambilnya merupakan satu keberkatan dan meninggalkannya merupakan kerugian. Perkara ini tidak mungkin dilakukan oleh orang-orang yang batil.” Riwayat Muslim (1337)

    Pengajaran ringkas daripada hadith di atas ialah amalan membaca Al-Quran akan menjadikan Kitabullah itu sebagai sahabat karib. Dan Kitabullah itulah jua kelak yang berhak memohon keampunan dan rahmat Allah SWT bagi sekalian sahabat-sahabatnya.

    Buraidah RA pada hadith sama namun dengan versi berbeza pula berkata: “Aku duduk bersama Nabi SAW dan aku mendengar Baginda SAW bersabda:

    “Sesungguhnya al-Quran itu akan menemui ‘sahabatnya’ ketika dibangkitkan dari kubur dalam bentuk seperti seorang yang pucat, kemudian dia berkata: “Apakah kamu mengenalku?” Dijawab: “Aku tidak mengenalmu.” Dia berkata lagi: “Akulah temanmu. Aku al-Quran yang telah membuat kamu haus kerana kamu membaca dengan mengeluarkan suara, dan membuatmu berjaga pada malam-malam harimu. Sesungguhnya setiap pedagang itu mempunyai hasil daripada setiap dagangannya. Pada hari ini, kamu memperoleh hasil daganganmu itu.”

    Kemudian orang itu diberikan kerajaan di tangan kanannya dan kekekalan di tangan kirinya. Kemudian diletakkan di atas kepalanya mahkota kewibawaan. Kedua ibu bapanya juga dipakaikan dua perhiasan yang keindahan dunia tidak sebanding dengannya. Kedua ibu bapanya pun bertanya: “Kerana apa kami dipakaikan ini?”
    Dijawab: “Kerana anak kamu berdua telah mengambil al-Quran.” Kemudian diperintahkan kepada keduanya untuk terus naik di tangga syurga dan kamar-kamarnya. Mereka akan terus naik selama anaknya masih tetap membaca al-Quran.”- Riwayat Ahmad (21872) (21897) (218971) dan al-Darimi (3257)

    Surah Al-Mulk Sang Penyelamat di Kubur

    Daripada Ibn ‘Abbas RA, beliau meriwayatkan dengan mafhumnya: “Sebahagian sahabat Nabi SAW mendirikan khemah di atas kubur dan mereka tidak mengetahui yang terdapatnya kubur di situ dan mereka mendengar ada seseorang membaca Surah al-Mulk sehingga tamat. Kemudian lelaki tersebut datang kepada Nabi SAW seraya berkata:

    “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah mendirikan khemah di atas kubur yang aku tidak mengetahui akannya dan aku terdengar di dalamnya seseorang membaca Surah al-Mulk sehingga tamat. Maka Rasulullah SAW berkata: “Ia adalah penghalang, penyelamat daripada azab kubur”. Riwayat al-Tirmizi (2890)

    Daripada hadis ini, Surah al-Mulk sememangnya memiliki kedudukan yang penting terutama di alam kubur. Surah ini tidak hanya memberikan ibrah tentang falsafah kehidupan dan kematian, kebesaran dan kekuasaan Allah SWT, ia bahkan menjadi teman bagi para penghafalnya yang akan melindungi dan menyelamatkan daripada azab kubur.

    Azab Kubur Lantaran Sikap Mengadu Domba
    Dari sebuah hadith diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, beliau berkata bahawa Nabi SAW pernah bersabda, ketika berjalan melalui dua kubur yang penghuninya sedang diseksa: 

    Sesungguhnya kedua-duanya sedang diseksa, dan tidaklah keduanya diseksa disebabkan berbuat dosa besar. Yang satu diseksa kerana tidak bersuci setelah kencing sedang yang satunya lagi kerana selalu mengadu domba”.

    Kemudian baginda mengambil sebatang dahan kurma yang masih basah daunnya lalu membelahnya menjadi dua bahagian kemudian menancapkannya pada masing-masing kuburan tersebut. Para sahabat bertanya: “Kenapa anda melakukan ini?”. Baginda menjawab: “Semoga diringankan  selama batang pohon ini basah” – Riwayat al-Bukhari (1361) dan Muslim (292)

    Selamat di Kubur, Selamat Hingga ke AkhiratDiriwayatkan daripada Ummu Hani, katanya: “Saidina Uthman RA, apabila berdiri di atas kubur menangis sehingga membasahi janggutnya, lalu dikatakan kepadanya: Kamu mengingati syurga dan neraka tetapi tidak menangis, dan kamu menangis disebabkan ini? Beliau berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW (dengan mafhumnya):

    “Sesungguhnya kubur adalah tempat persinggahan pertama daripada rumah-rumah akhirat, jika dia selamat darinya, maka apa yang selepasnya lebih mudah daripadanya, dan jika dia tidak selamat darinya, maka apa yang selepasnya lebih sukar daripadanya” – Riwayat Ahmad (454), al-Tirmizi (2308), dan Ibn Majah (4267).

    Kubur Bercahaya dan Dilapangkan

    Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda (dengan mafhumnya):

    Apabila mayat telah dikuburkan, datanglah kepadanya dua malaikat hitam kebiru-biruan, seorang daripada keduanya dikenali dengan Malaikat Munkar dan seorang lagi dengan Malaikat Nakir. Keduanya berkata: “Apakah yang hendak engkau katakan mengenai lelaki ini?

    Dia berkata: “Dia adalah hamba Allah dan utusan-Nya. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba-Nya dan utusan-Nya.” Keduanya berkata: “Sungguh, kami telah tahu bahawa engkau akan mengatakan demikian itu.” Kemudian dilapangkan baginya di dalam kuburnya sepanjang 70 hasta kali 70 hasta. Kemudian diberi cahaya baginya di dalamnya. Kemudian, dikatakan kepadanya: “Tidurlah engkau.” – Riwayat al-Tirmizi (1071) dan Ibn Hibban (3117)

    Arwah Melihat Syurga Dari Alam Kubur

    Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda (dengan mafhumnya):

    “Setiap seorang daripada kamu, manakala telah mati akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya setiap pagi dan petang. Jika dia daripada ahli syurga maka ahli syurga dan jika dia ahli neraka maka daripada ahli neraka. Dikatakan kepadanya, “Inilah tempatmu sehingga dibangkitkan semula pada hari kiamat.” – Riwayat al-Bukhari (1379) dan Muslim (2866)

    Wangian dan Angin Syurga di Kubur
    Diriwayatkan oleh al-Bara’ bin ‘Azib RA pernah bercerita tentang Rasulullah SAW dan para sahabat (dengan disingkatkan mafhumnya):

    “…Kemudian dua orang malaikat datang kepada roh dan duduk di sisi. Kedua-duanya bertanya: Siapakah tuhan kamu? Lalu roh mukmin menjawab: Tuhanku ialah Allah. Mereka bertanya lagi: Apakah agama kamu? Dia menjawab: Agamaku Islam. Mereka bertanya lagi: Siapakah orang ini yang dibangkitkan dalam kalangan kamu? Roh menjawab: Dia ialah utusan Allah. Mereka bertanya lagi: Bagaimana engkau mengetahuinya? Dia menjawab: Aku membaca Kitabullah, lalu aku beriman dan mempercayainya.

    Lalu penyeru daripada langit: “Hamba-KU benar! Bentangkan untuknya syurga. Pakaikan ia dengan pakaian daripada syurga. Bukakanlah pintu syurga untuknya.” Dia pun mendapat wangian dan harumnya angin syurga. Kuburannya diluaskan sejauh mata memandang.” – Riwayat Abu Daud (4753) dan Ahmad (4/287)

    Kesimpulan

    Kedua-duanya telah menyelesaikan urusan dunianya. Kebaikan dan kemuliaan kedua-dua allahyarhamah benar-benar ditunjukkan Allah SWT selepas kematian.

    Bagi penulis, baik arwah Nurly Shahirah atau Zara Qairina kedua-duanya adalah pelajaran terbaik buat kita dalam persediaan menghadapi kematian. Keadilah pasti ditegakkan, baik di dunia, dan tak pernah terlepas di Padang Mahsyar. Kita yang pasti menyusuli mereka ke negeri abadi wajarnya mengambil ibrah dan tauladan daripada keindahan amalan kedua-dua allahyarhamah.

    Semoga Allah kurniakan kepada kita nikmat kubur sehingga membawa kita ke syurga dengan titipan doa diajarkan Nabi SAW:

    اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ

    Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada seksa neraka Jahannam, dari seksa kubur dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah dajjal dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah hidup dan mati.”

    Rujukan:

    • Sinar Harian. (2025, August 9). Jasad Zara Qairina masih utuh, dalam keadaan baik – Imam masjid. https://www.sinarharian.com.my/article/742733/berita/nasional/jasad-zara-qairina-masih-utuh-dalam-keadaan-baik—imam-masjid
    • mStar. (2025, August 9). “Allahuakbar… jasad Zara Qairina masih utuh walau selepas 23 hari dikebumikan”. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2025/08/09/v-allahuakbar-jasad-zara-qairina-masih-utuh-walau-selepas-23-hari-dikebumikan

    • Zulkifli, D. (n.d.). Amalan untuk selamat daripada azab kubur. Zulkifli al-Bakri. https://zulkiflialbakri.com/5226-amalan-untuk-selamat-daripada-azab-kubur/
    • Zulkifli, D. (n.d.). Nas Qurani tentang thabitnya azab kubur. Zulkifli al-Bakri. https://zulkiflialbakri.com/8447-nas-qurani-tentang-thabitnya-azab-kubur/

    • Zulkifli, D. (n.d.). Siapa yang mendapat nikmat kubur? Zulkifli al-Bakri. https://zulkiflialbakri.com/8269-siapa-yang-mendapat-nikmat-kubur/

    • Zulkifli, D. (n.d.). Surah al-Mulk: Penghalang kepada azab kubur. Zulkifli al-Bakri. https://zulkiflialbakri.com/6639-surah-al-mulk-penghalang-kepada-azab-kubur/

     

    qhidirisa
    Journalis dan Editor Sarawak News Network.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    [Imbasan Parlimen] Rancangan Malaysia Ke-13: Dari Batang Sadong ke Parlimen

    0
    Kota Samarahan 13 Ogos 2025 - Persidangan Parlimen pada 11 Ogos yang lalu menyaksikan perbahasan daripada Ahli Parlimen Batang Sadong, YB Rodiyah Sapiee bagi...