KUCHING, 16 OGOS 2023 (SNN): Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2023 (WCIT-IDECS 2023) bakal membawa impak positif terutamanya dalam membangun agenda inovasi dan teknologi.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, acara yang diadakan pada 4 hingga 6 Oktober depan dijangka mewujudkan impak ekonomi yang positif kepada ekosistem teknologi dan ekosistem syarikat pemula di Sarawak.
“WCIT|IDECS 2023 akan berfungsi sebagai salah satu blok bangunan dalam memajukan agenda ekonomi digital kami melalui inovasi dan teknologi.
“Ia dijangka mewujudkan impak ekonomi yang positif kepada ekosistem teknologi dan syarikat pemula di Sarawak melalui pelaburan langsung asing (FDI), acara perniagaan dan pelancongan, serta penajaan yang seterusnya akan menggalakkan penciptaan pekerjaan dan peluang perniagaan yang lebih besar,” katanya semasa berucap dalam Majlis 50-Day Countdown for WCIT-IDECS 2023 pada Selasa.
Datuk Julaihi menambah, dalam jangka masa panjang, Sarawak mahu menjadi hab utama bagi pelabur dengan matlamat utama untuk meningkatkan sosioekonomi rakyat.
WCIT-IDECS 2023 menyasarkan lebih 10,000 kehadiran yang terdiri daripada pakar industri, penggubal dasar dan usahawan dari lebih 80 negara di seluruh dunia termasuk penceramah terkemuka yang mengambil bahagian dari lebih 22 negara.
Acara itu akan meneroka perbincangan yang merangsang pemikiran dan menyediakan peluang untuk meneroka tren, teknologi dan model perniagaan terkini dalam ekonomi digital.
Turut hadir sama adalah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi); Datuk Liwan Lagang, Timbalan Pengerusi bersama WCIT; Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Pengerusi Perikatan Inovasi, Teknologi dan Perkhidmatan Dunia (WITSA); Dr Sean Seah, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi; Jafri Lias dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC); Sudarnoto Osman.-UKAS