KUCHING, 07 JANUARI 2025: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dicadangkan untuk menyertai Institut Akhbar Malaysia (MPI) sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan profesionalisme wartawan di wilayah ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, wartawan perlu mengikuti latihan profesional yang berterusan bagi memastikan laporan yang dihasilkan bukan sahaja berkualiti, tetapi juga memiliki kredibiliti tinggi.
Menurut beliau, latihan profesional itu penting dalam menangani pelbagai cabaran semasa seperti penyebaran maklumat palsu, fitnah serta sentimen perkauman yang sering kali timbul, terutama dalam kalangan ‘wartawan netizen’ di laman media sosial.
“Saya mencadangkan supaya UKAS menjadi ahli MPI supaya dapat menyediakan platform untuk kita mengadakan pelbagai program kesedaran, penglibatan dengan pelajar yang berminat untuk menjadi wartawan atau pengamal media dalam pelbagai platform.
“Seterusnya, kita akan cuba lakarkan beberapa program khas untuk wartawan-wartawan di Sarawak,” katanya ketika ditemubual media UKAS selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, pada Selasa.
Menerusi kunjungan tersebut, Datuk Abdullah memberitahu bahawa Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi telah menggesa UKAS agar bekerjasama lebih rapat dengan MPI serta institusi kewartawanan lain dan berusaha gigih untuk memastikan masyarakat tidak terdedah kepada berita-berita yang berpotensi menimbulkan keresahan atau kebimbangan.
Dalam pada itu tambahnya, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi juga amat menekankan pentingnya kebajikan wartawan, khususnya di Sarawak, yang perlu diberikan perhatian serius.
“Beliau (Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi) turut menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian biasiswa melalui Yayasan Sarawak kepada mereka yang berminat untuk melanjutkan pelajaran atau mengikuti kursus profesional dalam bidang kewartawanan, bagi meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan mereka,”jelasnya lanjut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Ainol Amriz Ismail menjelaskan bahawa pihaknya berperanan sebagai platform latihan untuk memastikan wartawan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh agensi kerajaan.
Beliau menambah, seorang wartawan perlu memahami dengan mendalam aspek kewartawanan yang sebenar, termasuk etika, bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan penuh profesionalisme.
Turut sama dalam kunjungan tersebut adalah Presiden MPI; Datuk Yong Soo Heong serta Pengurus Besar MPI; Norlida Jamain-UKAS